April 23, 2013

Preview AFC Cup: Kelantan Mahu Menang Ke Atas Maziya RS

The Red Warriors tahu kemenangan hari ini ke atas Maziya akan memastikan mereka layak ke peringkat seterusnya  dalam saingan Piala AFC dan mereka pasti akan menurunkan barisan terkuat untuk mendapatkan tiga mata penuh. Selepas merehatkan Badhri Radzi dalam perlawanan pertama di Kota Bharu, Bojan tidak mahu mengulangi kesilapan itu pada malam ini.

Mencari gol adalah masalah Kelantan buat masa ini jika mahu dibandingkan dengan musim lepas. Namun Kelantan kini boleh menarik nafas lega selepas berjaya mendaftar masuk Dickson Nwakaeme yang nampak begitu cemerlang di bahagian serangan. Kelantan bermain dengan cemerlang menunjukkan jalan keluar buat Sarawak dalam saingan Piala FA sebelum tewas 1-3 kepada ATM dan 2-1 kepada PKNS FC.

Tetapi jika dilihat dalam saingan Piala AFC, Kelantan adalah satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas dalam saingan kumpulan dengan tiga kemenangan dan satu seri. Mereka kini selesa mengungguli kedudukan bagi kumpulan G dengan 10 mata.

Maziya berada dalam kedudukan ketiga dalam kumpulan. Selepas membuat permulaan yang baik ketika perlawanan berlangsung di Kota Bharu, dengan keputusan 1-1, mereka tidak menemui rentak untuk perlawanan yang seterusnya apabila tewas kepada Da Nang 3-2.

Mereka kemudian berjaya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ayewayadi sebelum tewas kepada pasukan sama 3-0 dalam perlawanan timbal balik. Maziya tahu sekiranya mereka menang perlawanan malam ini, ia akan meningkatkan peluang buat mereka untuk layak ke pusingan seterusnya dan memberikan tekanan kepada pasukan di tangga kedua, Da Nang.