December 12, 2011

Madrid Masih Terbaik- Mourinho



MADRID - Pengendali Real Madrid, Jose Mourinho seolah-olah memperlekehkan kemenangan Barcelona yang menewaskan pasukannya 3-1 dalam pertembungan klasik di Stadium Bernebue awal pagi kelmarin.

Sambil menyifatkan pasukannya kurang bernasib baik, pengendali kelahiran Portugal itu juga yakin kekalahan itu langsung tidak menjejaskan tumpuan pemainnya dalam perebutan takhta Liga Sepanyol selepas ini.

"Ia hanya satu perlawanan biasa, lazimnya ia juga bergantung kepada tuah.

"Yang jelas, kami kurang bernasib baik," katanya.

Madrid yang terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Karim Benzema seawal minit pertama begitupun terpaksa akur dengan tiga jaringan penyerang Barcelona menerusi Alexis Sanchez, Xavi dan Cesc Fabregas.
"Sepatutnya, kami menjaringkan lebih banyak gol sebaik mendahului 1-0.

"Dengan memiliki pemain yang hebat seperti Cristiano Ronaldo, kami bagaimanapun gagal melakukannya.
"Gol kedua mereka juga jelas kerana tuah, sesiapa juga pastinya bersetuju dengan itu.

"Ketika kami mengejar untuk menyamakan kedudukan, secara tiba-tiba mereka menjaringkan gol ketiga sekaligus menyebabkan pemain kami tertekan.

"Namun, yang terjadi biarkan sahaja terjadi. Ternyata nasib benar-benar tidak menyebelahi kami," katanya.
Pada masa sama, Mourinho juga gagal menyembunyikan kekecewaannya berhubung keputusan pengadil termasuk tidak melayangkan kad kuning kedua kepada Lionel Messi yang melakukan terjahan lambat ke atas Xabi Alonso.

"Bagi saya, Messi sepatutnya diarah keluar padang. Tetapi pengadil lebih mengetahui perkara itu," katanya.
Mourinho juga tidak bimbang dengan kekalahan itu yang menyaksikan pasukannya kini berkongsi 37 mata bersama Barcelona yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.

"Sedih memang sedih, tetapi kami tetap tidak terlalu khuatir. Kami masih mempunyai kelebihan satu perlawanan, asalkan kami tidak tewas ketika menentang Sevilla nanti," katanya.

Pendapat Mourinho juga dipersetujui oleh pengendali The Catalan, Pep Guardiola.

"Saya tidak merasakan kekalahan ini akan menjejaskan moral pemain Madrid.

"Silap-silap, mereka akan menjadi lebih kuat selepas ini. Saya masih tidak nampak siapa yang boleh muncul juara, masih terlalu awal untuk berbicara mengenai itu," katanya. - Reuters


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!