December 12, 2011

City Mahu Jadikan Chelsea Mangsa



LONDON - Pengendali Manchester City, Roberto Mancini percaya kunjungan mereka ke Chelsea esok akan memberi peluang terbaik kepada pasukannya untuk kembali bangkit dari kekecewaan selepas terkeluar dari saingan Liga Juara-Juara.

Pengurus kelahiran Itali itu kini melihat peluang pasukannya untuk kekal berada di kedudukan teratas semakin cerah apabila kekal mendahului dua mata di depan juara bertahan, Manchester United yang membelasah Wolve, 4-1, kelmarin.

"Untuk dua minggu yang lalu, prestasi Chelsea telah meningkat dan mereka masih lagi pasukan pilihan. Ia akan menjadi perlawanan yang menarik, menyaksikan dua pasukan terkuat bertarung sesama sendiri.

"Untuk itu, kami perlu menang," kata Mancini yang kini berada di landasan tepat untuk muncul pengurus City pertama membawa pasukan itu bergelar juara Liga Perdana England selepas Joe Mercer kali terakhir melakukannya pada 1968.

Kemenangan di London itu esok bakal meletakkan City lebih selesa untuk meninggalkan Chelsea dengan kelebihan 13 mata di depan.

Apa yang pasti, perlawanan menentang City esok dan Arsenal enam hari kemudian disifatkan Mancini memberi peluang yang cukup besar bagi mereka bergelar juara Liga Perdana England.

"Saya percaya, ia adalah satu perlawanan yang cukup bagus untuk dimainkan dan amat penting dalam menentang pasukan di kedudukan teratas kerana sehingga kini, kami lakukan dengan baik dalam Liga Perdana tetapi, musimnya masih panjang.

"Ini kerana, selepas perlawanan getir menentang Chelsea dan Arsenal, kami perlu bermain setiap tiga hari. Justeru, bulan depan amat penting untuk kami," ujarnya. - AFP


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!