December 12, 2011

OKS Ikhlas



PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara, Ong Kim Swee tidak mahu keikhlasannya Harimau Muda disalah ertikan oleh mana-mana pihak.

Kim Swee yang telah menginjak usia 41 tahun semalam berkata, tiada lain daripada fikirannya selain daripada mahu memberikan yang terbaik dalam usaha menjadikan skuad negara kembali digeruni terutama di pentas Asia Tenggara.

Menurut Kim Swee, tidak pernah terlintas di hatinya bagi mengejar sebarang anugerah dan pengiktirafan termasuk pangkat Datuk, sebaliknya beliau hanya menganggap itu semua sebagai motivasi bagi memberikan yang terbaik dari semasa ke semasa.

“Janganlah panggil saya Datuk, segan saya. Saya belum menerima anugerah sedemikian lagi setakat ini, cukuplah sekadar memanggil nama saya.

“Saya hanya bekerja secara ikhlas, sebarang anugerah dan pengiktirafan dianggap sebagai motivasi yang lebih tinggi bagi menghadirkan kejayaan buat skuad negara,” kata Kim Swee semalam.

Spekulasi mengaitkan darjah penganugerahan Datuk kepada pengendali yang berasal dari Melaka itu mula meniti di bibir pemerhati bola sepak tempatan lantaran kejayaan beliau membantu Harimau Muda mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia bulan lalu.

Minggu lalu, Kim Swee dilaporkan bakal dikurnia pingat Darjah Seri Melaka hasil sumbangannya membimbing Harimau Muda mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Bagaimanapun, pingat kebesaran itu tidak membawa gelaran Datuk.

Apa yang pasti, kecemerlangan anak-anak buah Kim Swee yang ketika ini sedang ‘berguru’ di Australia bagi aksi persahabatan menentang tiga buah kelab elit di negara itu, sudah tentu merupakan hadiah hari jadi beliau yang paling bermakna kali ini.

Harimau Muda yang selamat tiba di Sydney kelmarin, bakal membuat perhitungan dengan kelab Sydney FC di sebuah padang universiti di sana pukul 11.30 pagi (pukul 8.30 pagi waktu Malaysia) esok.

Kemudiannya, anak-anak buah Kim Swee akan menentang Central South Mariner sebelum menutup aksi menentang Newcastle Jets pada 19 Disember depan.

Mengulas lanjut, Kim Swee mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terutama Presiden, Sultan Ahmad Shah yang masih menaruh kepercayaan kepada beliau mengemudi Harimau Muda setelah kontraknya yang sebelum ini tamat pada April tahun depan telah dilanjutkan sehingga penghujung 2013.

“Pelbagai rangka perancangan sudah dalam pemikiran saya sehingga 2014 dan saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk membawa pasukan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Selain beraksi dalam kempen Liga Singapura (Liga-S) selama empat musim bermula Februari tahun depan, Kim Swee yang masih mempunyai baki tiga aksi kelayakan temasya Olimpik 2012 Zon Asia pastinya mempunyai ‘kerja rumah’ yang cukup banyak sebagai persediaan jangka panjang termasuk Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Sukan Asia di Korea Selatan setahun kemudian.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!