December 12, 2011

KOAM dan MSN Cetus Masalah Lagi



TIMBALAN Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim mencetuskan kontroversi baharu.

Kali ini, Karim didakwa mengarahkan Pengurus Besar KOAM, Dr. Iskandar Abdullah untuk meletak jawatan meskipun baharu tiga bulan melaksanakan tugas tersebut.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong kepada Kosmo! semalam.

"Saya bukan mahu membuat cerita tidak tentu fasal. Namun, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Dr. Iskandar kepada saya.

"Menurut Dr. Iskandar, Karim mengarahkannya meletak jawatan ketika mereka berhenti berehat di sebuah restoran di Butterworh semasa perjalanan menghadiri mesyuarat ahli-ahli majlis KOAM di Kangar kelmarin.
"Mungkin sudah tidak tahan dengan apa yang dilakukan Karim, Dr. Iskandar bertindak menceritakan kepada saya mengenai hal tersebut.

"Ketika menceritakan hal itu, Dr. Iskandar menjelaskan bahawa beliau sudah tidak tahan kerana Karim sering kali memintanya menipu dan dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keputusan ahli-ahli majlis KOAM," kata Zolkples.

Tambah Zolkples, satu sidang media khas akan diadakan oleh Dr. Iskandar dalam masa terdekat bagi mendedahkan perkara sebenar.

"Saya tidak mahu campur tangan dalam hal ini kerana ia membabitkan masalah dalaman KOAM. Namun, saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Dr. Iskandar itu.

"Bila sidang media itu diadakan nanti (hari ini), biarlah Dr. Iskandar sendiri yang menceritakan segala-galanya.

"Cuma apa yang saya pelik, Karim sendiri yang membawa masuk Dr. Iskandar untuk jawatan pengurus besar ini.

"Jika tidak silap, ini merupakan kali kelima jawatan sebagai Pengurus Besar KOAM bakal bertukar tangan jika benar Karim meminta Dr. Iskandar meletak jawatan, tambahnya.

Sebelum ini, pelbagai kontroversi telah ditimbulkan Karim sehingga banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan-keputusan yang dibuatnya.

Terbaharu, beliau didakwa mahu memutuskan hubungan antara KOAM dengan MSN.

Bagaimanapun, hasil mesyuarat ahli-ahli majlis kelmarin, Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan bahawa badan induk itu tidak berhasrat memutuskan hubungan dengan MSN.

Keputusan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan penuh daripada ahli-ahli majlis KOAM.
 


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!