February 9, 2012

"Saya Tidak Terdesak Untuk Mohon Maaf" - Suarez



LONDON - Penyerang Liverpool, Luiz Suarez tetap enggan memohon maaf kepada tonggak pertahanan Manchester United, Patrice Evra.


Terdahulu, Suarez telah dikenakan hukuman penggantungan sebanyak lapan perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak England (FA England) selepas dia menghemburkan kata-kata penghinaan kepada Evra, Oktober tahun lalu.


"Saya tidak berada dalam keadaan terdesak untuk memohon maaf kepada Evra.


"Saya tahu apa yang telah saya lakukan. Dalam bola sepak, sebagai pemain saya berpegang terhadap peraturan yang mengatakan apa yang berlaku di atas padang berakhir di situ sahaja," kata Suarez.


Kini, tempoh hukuman penyerang antarabangsa Uruguay itu telah tamat dan dia sudah diturunkan ketika skuad The Reds sekadar seri tanpa jaringan dengan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana England, kelmarin.


Malah, dia dijangka akan diturunkan pada aksi menentang United dalam saingan liga di Old Trafford, Sabtu ini.


Sudah pasti kelibat Suarez akan menjadi tumpuan dan para penyokong skuad The Red Devils dijangka tidak akan membiarkan pemain tersebut beraksi dengan mudah.


"Saya tahu, menentang United, ia bakal menjadi perlawanan tumpuan apatah lagi saya akan berdepan dengan Evra. Para penyokong United pasti akan mengejak saya.


"Namun, saya sudah biasa dengan perkara itu. Saya harap perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku. Saya sudah pun melupakan insiden dengan Evra itu," jelas Suarez. - AGENSI