February 9, 2012

Bilbao Merasa Pentas Final


BILBAO: Athletic Bilbao mara ke final Copa del Rey apabila merakam kemenangan 6-2 ke atas Mirandes kelmarin, sekali gus menamatkan impian dan perjalanan bersejarah kelab divisyen tiga itu. 

Jaringan Iker Muniain, Markel Susaeta dan pertahanan Jon Aurtenetxe membolehkan Bilbao mendahului selesa 3-0 pada minit ke-22, sekali gus menamatkan impian Mirandes yang menyingkirkan tiga pasukan ternama dalam laluan ke separuh akhir.

Penyerang Bilbao, Fernando Llorente dan pemain Mirandes, Aitor Blanco masing-masing menjaringkan dua gol pada babak kedua.
Bilbao menang dengan agregat 8-3, sekali gus akan tampil pada final ke-36 mereka menentang sama ada Barcelona atau Valencia. Real Madrid menjadi pasukan paling banyak beraksi di pentas final dengan 37 penampilan, sementara Bilbao pernah memenangi 23 kejuaraan dan Barcelona 25. 

“Sungguh menakjubkan kerana dapat beraksi di final semula, dan kami semua amat gembira,” kata Llorente. “Kami sedar kami perlu lebih fokus dan tidak boleh berehat. Kami tidak kisah siapa lawan di final, kami hanya mahu menang.” 

Mirandes menyingkirkan Villarreal, Racing Santander dan Espanyol untuk menjadi kelab ketiga dari bahagian divisyen dua yang pernah mara sejauh ini. – AP