February 11, 2012

Aksi Panas Evra-Suarez



MANCHESTER, England - Aksi pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra dan penyerang Liverpool, Luis Suarez pasti mencuri tumpuan pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam ini.


Kedua-dua pemain tersebut bakal 'bertembung' buat pertama kalinya sejak terbabit dalam skandal perkauman.


Suarez yang juga penyerang Uruguay telah didenda dan digantung lapan perlawanan selepas didapati bersalah menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada Evra pada pertemuan yang berkesudahan seri 1-1 di Anfield, Oktober tahun lalu.


Insiden tersebut mencetuskan suasana 'panas' antara kedua-dua kelab gergasi England itu, terutamanya selepas pengurus Liverpool, Kenny Dalglish bertindak mempertahankan Suarez.


Dalglish berkata, Suarez tidak sepatutnya menerima hukuman itu dan dia terus memberi sokongan kepada pemain tersebut.


Begitupun, kedua-dua pasukan telah bertemu sekali sejak Oktober tahun lepas apabila Liverpool menyingkirkan United daripada saingan Piala FA di Anfield bulan lalu.


Dalglish yang diminta untuk bertenang bersama-sama rakan sejawatannya di United, Alex Ferguson yakin pertemuan di Old Trafford malam ini mampu menamatkan ketegangan antara kedua-dua pasukan.


"Semua orang terbabit termasuk media, para penyokong dan kedua-dua pasukan bertanggungjawab untuk memastikan perlawanan penghujung minggu ini (malam esok) diingati sebagai suatu aksi bola sepak antara dua pasukan yang hebat," kata Dalglish.


"Saya fikir, semua orang yang terbabit dalam aksi Piala FA di Anfield memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perlawanan itu berjalan lancar.


"Jadi, kita perlu memastikan perkara itu berlaku sekali lagi pada penghujung minggu ini (malam ini).


"Saya yakin, orang ramai mahu bercakap mengenai Suarez tetapi dia sudah menerima hukuman, melengkapkan penggantungan dan kembali beraksi pada perlawanan liga menentang Tottenham Hotspur, Isnin lalu.


"Ini adalah masanya untuk kami merenung kembali apa yang berlaku dan memandang ke hadapan." - Agensi