April 24, 2013

Laporan Perlawanan: Maziya 6-1 Kelantan: Red Warriors Rebah di Maldives



Kelantan yang bermain dengan 10 pemain dimalukan oleh kelab Maldives di Stadium Rasmee Dhandu Male, Maldives

The Red Warriors memulakan permainan dengan tenang dengan bintang muda dari Australia, Dimi Petratos menerajui serangan bersama penyerang veteran, Haris Safwan.

Hanya tujuh minit yang diperlukan oleh Kelantan untuk memecah kebuntuan menerusi Haris Safwan. Haris berjaya menewaskan perangkap ofside Maziya apabila berjaya menyambut hantaran Norfarhan untuk menghasilkan jaringan yang mudah.

Kelantan bermain dengan agak cemerlang melalui Dimi Petratos yang banyak mendatangkan kerisauan kepada pertahanan pasukan tuan rumah dengan larian-larian pantasnya.

Walau bagaimanapun, keghairahan Kelantan untuk terus memburu gol terbantut apabila Zamri Ramli dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Maziya, Asadulla.

Seolah-olah mendapat tonik baru, Maziya memanfaatkan kelebihan dengan terus memberikan tekanan kepada pasukan Kelantan namun refleks yang baik dari Khairul Fahmi berjaya menafikan beberapa percubaan dari Maziya.

The Green Boys berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Ahmad Rasheed yang mengambil kesempatan sepenuhnya di atas kecuaian pertahanan Kelantan untuk menewaskan Khairul Fahmi. Kelantan dilihat jelas terkejut dengan jaringan tersebut.

Ismail Mahfooz sekali lagi menggunakan kelebihan yang ada apabila bertukar-tukar serangan dengan Hassan untuk mendapat gol kedua sekaligus meletakkan mereka di depan dengan jaringan 2-1.

Beberapa ketika kemudian, Maziya berjaya menambah jaringan gol melalui jaringan Ismail. Jelas kelihatan Kelantan seolah-olah hilang punca bermain di hadapan penyokong lawan.

Nasib malang Red Warriors berterusan apabila Adham Hassan menjaringkan gol keempat dengan agak mudah. Kemudian, Adham sekali lagi menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini melalui aksi akrobatik. Bojan Hodak sekadar mampu menggeleng-geleng kepala melihat anak buahnya terus diratah pasukan tuan rumah.

Tidak cukup dengan lima gol, rembatan Asadulla yang terkena Khairul Fahmi sekali lagi menjunam ke dalam gawang Kelantan.

Khairul Fahmi jelas tertekan dengan tekanan yang diberikan pasukan tuan rumah.

Kekurangan barisan pertahanan Kelantan akibat kad merah yang dikenakan ke atas Zamri Ramli menjadi sebab rebahnya Red Warriors di bumi Maldives.