April 21, 2013

Nazmi, Chmelo buat Red Warriors merana



Kuala Lumpur: Kehadiran dua pemain baru, Nazmi Faiz Mansordan Roman Chmelo dianggap memberi nafas baru kepada PKNS FC mengharungi baki saingan pusingan kedua Liga Super tatkala keletihan mengharungi jadual padat Liga Super, Piala FA dan Piala AFC semakin menjejaskan peluang Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan.

“Pemain mempamerkan persembahan baik, cuma kami tertidur pada 10 minit pertama dan terlalu menghormati Kelantan. Tapi kami bernasib baik bertemu Kelantan yang dalam keadaan letih selepas mengharungi banyak perlawanan.
“Cuma kemenangan (2-1) ini terpaksa dibayar mahal kerana Patrick (Ronaldinho Wleh) dilayangkan kad merah (pada minit ke-86) dan ia akan beri kesan besar untuk dua perlawanan berikutnya (bertemu Tentera dan T-Team),” kata jurulatih PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim ketika ditemui selepas perlawanan.


Hodak minta penyokong faham

Selepas 13 perlawanan, PKNS FC mengumpul 18 mata manakala Kelantan 14 mata
Sementara itu, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mahu penyokong The Red Warriors lebih faham mengenai keadaan fizikal pemain yang memang lesu selepas mengharungi lapan perlawanan dalam tempoh empat minggu.

“Pemain sudah beri yang terbaik dan penyokong perlu faham. Saya akan rehatkan beberapa pemain untuk tidak dibawa ke Maldives bagi perlawanan Piala AFC (bertemu Maziya), Selasa ini,” kata Hodak.