April 20, 2013

Laporan Perlawanan: PKNS FC 2-1 Kelantan


Kelantan bermain tanpa Shakir Shaari yang digantung perlawanan selepas mendapat kad merah dalam perlawanan menentang Sarawak. Bojan juga meletakkan penyerang sensasi Kelantan, Dickson Nwakaeme bersama Norfarhan dan Mohd Izwan di bangku simpanan. Untuk tuan rumah, Nazmi Faiz diturunkan untuk menguasai bahagian tengah manakala Patrick Ronaldinho Wleh pula mengetuai jentera serangan.

Kelantan mendominasi perlawanan sejak dari sepak mula. Fakri buat pertama kali menguji penjaga gawang  selepas berjaya melepaskan rembatan namun ianya tersasar. Seminit kemudian, Fakri meletakkan Kelantan di depan apabila menerima bola dari hantaran lintang yang rendah dari Faiz Subri untuk menewaskan Mohd Remezey. Kelantan mendahului 1-0.

PKNS tidak menunggu lama untuk memberi tekanan kepada pertahanan Kelantan. Khairul Azrin mengambil kesempatan atas keadaan huru-hara pertahanan Kelantan namun rembatannya berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Midfield PKNS yang diketuai oleh Nazmi Faiz membuat beberapa pertukaran posisi untuk memecah dominasi penguasaan bola Kelantan. Hasilnya ia hampir memberikan gol buat Semut Merah apabila lorongan Nazmi Faiz kepada Roman Chmelo dirembat dengan laju namun bola melambung melepasi palang.

Kelantan dilihat mudah ditembusi selepas menjaringkan satu gol dan PKNS mengambil kesempatan di atas keadaan ini. Sekali lagi PKNS hampir mendapatkan gol penyamaan melalui Wleh namun berjaya diselamatkan Kahirul Fahmi dalam situasi satu lawan satu.

Tamat separuh masa, Kelantan berjaya mencuri satu gol.

Anak buah Bojan memulakan separuh masa kedua dengan dua pemain yang baru dimasukkan iaitu Dickson Nwakaeme dan Farisham Ismail.

Bagamanapun, pertukaran itu langsung tidak mengubah corak permainan buat Kelantan apabila PKNS terus memberi tekanan untuk mencari gol penyamaan. Mohd Fazli membuat hantaran tinggi kepada Nazmi Faiz namun disia-siakan akibat rembatan meliar Nazmi.

Chmelo akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan selepas menerima hantaran dari Fazli.

Nazmi mendapat peluang menggandakan kedudukan apabila mengambil kesempatan atas kesilapan K. Nathakumar. bagaimanapun, sepakan yang lemahnya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol nombor satu negara.

Sekali lagi benteng pertahanan Kelantan menjadi kucar-kacir melalui pergerakan cantik dari PKNS apabila Wleh berjaya memperdayakan beberapa pertahanan Kelantan. Namun pertahanan Kelantan berjaya mengekakang asakan dari pasukan tuan rumah.

Ketika Kelantan berharap dapat membawa pulang satu mata ke Kota Bharu, Mohd Fauzan dengan sepakan percumanya yang cantik terus menerjah jaring telah meranapkan harapan The Red Warriors.

Patrick Ronaldinho Wleh dilayangkan kad merah apabila mengasari Obinna Nwaneri.

Kelantan tidak berjaya menggunakan kesempatan yang ada untuk terus mendapatkan gol penyamaan walaupun PKNS bermain dengan 10 pemain. Sebaliknya Khirul Fahmi pula yang harus bekerja keras menahan asakan dari PKNS termasuk dari Helmi.

Disaat-saat terakhir, Kelantan memberi tekanan kepada PKNS untuk mencari gol penyamaan namun ianya gagal. Pemain-pemain PKNS berkampung di kawasan sendiri untuk memastikan jentera Kelantan tidak menembusi benteng pertahanan mereka. Akhirnya, Semut Merah berjaya menewaskan Pahlawan Merah dengan jaringan 2-1.