May 19, 2012

Preview Piala FA: Kelantan vs Sime Darby


Kelantan kini mungkin berada di bawah tekanan sementara menunggu sepak mula perlawanan akhir Piala FA 2012. Pada tahun 2009, mereka tewas kepada Selangor 4-1 dalam penentuan sepakan penalti dan mimpi buruk itu sekali lagi berlaku setahun selepas itu apabila mereka direbahkan oleh jiran mereka sendiri iaitu Terengganu dengan jaringan 2-1.

Pada kali ini, anak buah Bojan Hodak bersedia menjejakkan kaki sekali lagi di Bukit Jalil dengan harapan dapat memadamkan kenangan lama dan mencipta satu kejayaan baru yang diidami oleh penyokong setia Red Warriors. Dalam maksud yang sama, Red Warriors pasti akan membunuh Sime Darby malam esok.

Kelab dari Liga Perdana, Sime Darby berjaya menewaskan Sabah dan menumbangkan  juara bertahan Terengganu dalam perjalanan menuju ke perlawanan akhir, dan mereka berharap dapat meneruskan rentak cemerlang itu untuk menewaskan Kelantan dan akhirnya mencipta satu sejarah baru bola sepak Malaysia dengan menjadi kelab pertama yang menjuarai Piala FA.

Bojan Hodak mempunyai satu skuad yang cukup untuk beraksi di final, dengan setiap pemain kini berada dalam prestasi terbaik. Obinna Nwaneri bersedia untuk menjadi ketua di bahagian pertahanan bersama-sama S.Subramanian. Pemain dari Nigeria itu dijangka akan mengunci segala pergerakan key-player Sime Darby disamping menjadi benteng bagi setiap set-pieces yang diperolehi Sime Darby.

Di bahagian tengah pula Nurul Azwan Roya dan Badhri Radzi bakal digandingkan bersama untuk membentuk satu pergerakan yang kreatif di samping menggandingkan penggempur yang tidak asing lagi iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan S.Chanturu untuk membolosi gawang Sime Darby. Mohammad Ghaddar pula akan dimasukkan sebagai super-sub, dimana dia telah menjaringkan beberapa gol penting dalam perjalanan Kelantan menuju ke final.

Sime Darby pasti meletakkan harapan kepada penyerang berbahaya mereka, Patrick "Ronaldihno" Wleh untuk mencari jaringan. Pemain yang berasa dari Liberia  itu telah menjaringkan enam gol dalam kempen Piala FA.

Kelantan menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai Piala FA 2012 buat pertama kali, namun Sime Darby pasti akan memberikan saingan yang sengit untuk memastikan kejayaan menjadi milik mereka. Walau apapun keputusan yang berlaku esok, ia bakal mencipta sejarah tersendiri sama ada dalam dunia bola sepak Kelantan, Sime Darby mahupun dalam sejarah bola sepak Malaysia.