May 20, 2012

Sime Darby 0-1 Kelantan: Red Warriors Catat Sejarah Tersendiri Dalam Perlawanan Yang Sukar




Dalam suasana yang begitu bingit di Stadium Nasional Bukit Jalil, Norshahrul Idlan Talaha dilihat mampu memberi sinaran buat Kelantan namun rembatan lemahnya berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Sime Darby, Redzuan Harun.


Pertahanan Kelantan, S. Subramanian terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan dengan Rizal Fahmi. Pertukaran itu langsung tidak memberi kesan kepada pertahanan Kelantan malah tandukan Ghaddar hasil daripada sepakan percuma Badhri Radzi tersasar sedikit dari palang gol.


Penyerang berbisa Sime Darby, Patrick 'Ronaldinho' Wleh membuat satu larian yang bagus, namun larian sejauh 50 meter itu berakhir dengan satu rembatan yang sia-sia apabila bola melambung tinggi melepasi palang gol Kelantan.


Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan namun Sime Darby dilihat begitu gembira dengan keputusan tersebut kerana berjaya membuat jentera serangan Kelantan mati akal dalam usaha memburu gol.


The Red Warriors kembali dengan membuat satu pergerakan yang superb pada separuh masa kedua dan mempunyai beberapa peluang keemasan.


Mohd Fairuz menjatuhkan Obinna Nwaneri di dalam kotak penalti dan Suhaizi Shukri tanpa teragak-agak memberi sepakan penalti buat Kelantan. Mohammad Ghaddar berjaya membuat satu sepakan tipu helah dan sekaligus berjaya menggembirakan hampir 80 ribu penyokong setia Red Warriors.


Chanturu kemudian memberi laluan kepada Azuan Roya untuk merasai pentas final. Larian yang dilakukan Awe banyak mengelirukan pertahanan Sime Darby.


Mohammad Ghaddar membuat satu skill yang cantik sebelum membuat hantaran silang yang cantik namun tandukan Badhri Radzi tidak menemui sasaran.


Kelantan mempunyai peluang keemasan terakhir melalui Indra Putra namun half-volley yang dilakukannya melambung tinggi melepasi palang gol Sime Darby.


Perlawanan berakhir dengan jaringan 1-0 dan Kelantan berjaya merangkul juara Piala FA buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Kelantan dan penyokong setia Pahlawan Merah pasti akan bergembira di atas kemenangan bersejarah ini.