February 18, 2012

Redknapp Bimbing England Euro 2012



LONDON - Pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp membuka pintu kepada kemungkinan untuk membimbing England pada Euro 2012 atas kapasiti jurulatih sementara ekoran peletakan jawatan mengejut Fabio Capello.


Redknapp yang menjadi pilihan banyak pihak untuk menggantikan Capello berkata, membimbing Tottenham dan England dalam satu masa yang sama adalah 'mustahil' bagi jangka masa panjang.


Namun beliau sedia menggalas tugas tersebut untuk jangka masa pendek.


Pengurus berusia 64 tahun itu yang terselamat daripada dakwaan cubaan mengelak cukai, minggu lalu sebelum ini pernah mengatakan beliau hanya boleh melakukan satu tugas dalam satu masa.


Bagaimanapun semalam, Redknapp tampak mula melembutkan pendiriannya ketika Tottenham dalam persiapan menghadapi kelab divisyen bawahan, Stevenage Borough FC pada saingan Piala FA, hujung minggu ini.


"Secara sambilan? Dalam jangka pendek, saya rasa ia tidak mustahil untuk membantu England menghadapi Kejohanan Eropah.


"Tetapi untuk jangka panjang, ia tidak mungkin berlaku. Sukar untuk menguruskan pasukan kelab dan kebangsaan dalam satu masa.


"Sebenarnya hendak menguruskan sebuah kelab dalam Liga Perdana Inggeris sendiri adalah satu cabaran yang besar, apatah lagi menguruskan pasukan England.


"Anda mahu melihat pemain-pemain England beraksi dan anda mahu melihat sesuatu persembahan yang berbeza daripada kelab. Saya rasa, siapapun yang diberikan tugas ini, hanya mampu menggalas satu tugas pada satu masa," katanya.- AFP