February 4, 2012

City Miliki Kekuatan Mental - Kompany


MANNCHESTER - Kapten Manchester City, Vincent Kompany menegaskan pasukannya memiliki kekuatan mental untuk memenangi Liga Perdana England.
Kompany berkata demikian selepas skuad mewah Roberto Mancini melahirkan keazaman untuk mengatasi juara bertahan, Manchester United.
Meskipun terikat 54 mata bersama United, City masih menjadi pendahulu liga dengan kelebihan perbezaan jumlah jaringan.
Kini City berpeluang mengatasi skuad bimbingan Alex Ferguson yang akan bertemu Chelsea pada Ahad sekiranya mereka berjaya menewaskan Fulham di Etihad awal pagi nanti.
"Terdapat satu perkara yang saya ketahui mengenai pasukan saya di mana kami memiliki kekuatan mental," ujarnya.
"Kami hidup dengan tekanan sebegini sepanjang tiga tahun setengah dan ia tidak akan memberikan kesan kepada kami.
"Sama ada mereka (penyokong) hendak menyokong atau memandang rendah terhadap kami, terpulanglah," katanya.
Sebelum ini, City terkeluar dari saingan Piala Liga apabila disingkirkan Liverpool pada aksi separuh akhir.
Rentetan malang City itu semakin berterusan apabila tewas mengejut kepada Everton menerusi jaringan tunggal Darren Gibson pada aksi Liga Perdana England.
Prestasi cemerlang City dilihat merosot ekoran ketiadaan pasangan adik beradik, Kolo dan Yaya Toure yang mewakili Ivory Coast pada kejohanan Piala Negara-Negara Afrika selain Kompant digantung empat perlawanan.
Kompany, yang kembali beraksi ketika menentang Fulham, percaya City mampu mendapatkan momentum apabila menentang Fulham, Aston Villa, Blackburn, Bolton dan Swansea sebelum pertemuan mereka dengan Chelsea di laman sendiri pada 19 Mac depan.
"Ia mungkin merupakan satu minggu yang tidak menyeronokkan, tetapi saya telah melihat pasukan dan masih merasakan bahawa kita telah melakukan tugas yang baik.
"Sekarang kami perlu memandang ke hadapan dan berharap perkara yang baik akan berlaku untuk kami. Itulah yang lebih penting buat kami," ujarnya. - AFP