September 26, 2012

Laporan Perlawanan: Kelantan 1-1 Arbil SC - Kelantan Gah Di Laman Sendiri



Kelantan mendapat peluang pertama melalui sepakan percuma Indraputra pada awal minit perlawanan, namun tendangannya berjaya dihalang oleh pertahanan Arbil. Pasukan pelawat juga mempunyai satu peluang pada minit ke-14 apabila bola tepat jatuh di hadapan Sula sebelum rembatannya berjaya dihalang Obinna Nwaneri. Beberapa minit kemudian, Afiq Azmi mendapat hantaran cantik dari kapten Badhri Radhzi melalui sepakan penjuru namun rembatannya sekadar melalui sisi gol lawan.

Kelantan berjaya mencipta beberapa peluang terutama pada minit ke-23 selepas Norfarhan berganding dengan Afiq Azmi untuk menghasilkan jaringan, namun rembatan tepat ke arah penjaga gol Arbil, Jalas Hassan. Norfarhan sepatutnya meletak Kelantan didepan namun rembatan kencangnya hanya singgah di palang gol Arbil SC.

Disebalik kecemerlangan Kelantan mendominasi perlawanan, pada minit ke-37 Arbil berjaya melepasi perangkap offside Kelantan sebelum Sula berjaya menolak masuk bola ke gawang Kelantan melepasi Khairul Fahmi Che Mat untuk menjadikan Arbil 1-0 di hadapan.

Babak pertama berakhir dengan Kelantan 0-1 Arbil SC. Bermula separuh masa kedua, Kelantan terus menguasai permainan. Namun pada minit ke-50, Sula sekali lagi berjaya menewaskan benteng pertahanan Kelantan tetapi bola berjaya ditepis Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-61 Bojan memasukkan Muhammad Ghadda untuk menggantikan pemain pinjaman dari Kuala Lumpur (Afiq Azmi) yang begitu mengecewakan di hadapan pintu gol. Arbil juga turut melakukan beberapa pertukaran pemain termasuk mengeluarkan Amjad Radhi dan digantikan dengan Mustafa Abdulameer.

Permainan menarik dari Halkard Mulla Mohammad dan Mustafa hampir menghasilkan gol kedua buat Arbil SC namun berjaya digagalkan oleh Khairul Fahmi Che Mat. 

Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan 1-0, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti apabila Ahmed menjatuhkan Ghaddar. Ghaddar yang diberikan tugas untuk mengambil sepakan penalti nyata tidak mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan apabila berjaya menolak bola mudah menerjah jaring Arbil SC.

Perjalanan pertama Red Warriors dalam kempen Piala AFC berakhir dengan kekalahan agregat 6-2 di tangan Arbil SC. Namun apa yang boleh dibanggakan adalah Kelantan masih berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri tahun ini.