September 25, 2012

AFC Cup QF Preview: Kelantan vs Arbil SC



Kelantan akan menjadi tuan rumah dalam perlawanan suku akhir kedua Piala AFC menentang wakil Iraq, Arbil SC malam esok. Perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, yang memberi kelebihan kepada anak buah Bojan Hodak. Namun begitu mereka mempunyai kerja tambahan selepas tewas 5-1 dalam pusingan pertama minggu lepas.

Kelantan harus memastikan mereka menang dengan jaringan 4-0 sekiranya ingin meneruskan perjuangan dalam kempen Piala AFC ini. Kembalinya Norshahrul Idlan Talaha, Indraputra Mahyuddin dan Mohd Ghaddar semestinya akan memberi dimensi yang rapi dalam kesebelasan utama Kelantan untuk mengucar-ngacirkan pertahanan Arbil SC.

Di barisan pertahanan, S. Subramaniam dan Obinna Nwaneri akan bersama pasukan untuk mengemudi benteng pertahanan bersama-sama dengan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Bojan sebelum ini mengeluarkan komen bahawa perbezaan standard perlawanan antara pasukan dari Malaysia dan pasukan dari Iraq adalah terlalu ketara. Bagaimanapun dia masih optimis yang anak buahnya akan mendapat sesuatu dalam perlawanan ini. "Kami masih tidak pernah kalah di Kota Bharu tahun ini; saya fikir kami akan dapat memberi tentangan yang sengit kepada pemain Arbil."

Bagi pasukan pelawat pula, Arbil akan melangkah masuk ke padang dengan tekanan yang kurang kerana memperolehi kelebihan dengan empat gol. Pemain midfield, Halkard Mulla Muhammad yang menjaringkan salah satu gol pada minggu lepas akan menjadi salah seorang pemain yang tidak diturunkan dalam perlawanan malam esok.

Penyerang Amjad Radhi dan Luay Salah yang berjaya menewaskan Khairul Fahmi minggu lepas akan sekali lagi menjadi ancaman buat pertahanan Kelantan. Pertahanan Arbil akan dikemudi oleh pemain berpengalaman, Nadim Sabagh.

Perlawanan ini memberi peluang buat The Red Warriors untuk membalas dendam setelah dimalukan oleh pasukan dari Iraq pada perlawanan pertama. Bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri sepatutnya memberi motivasi tambahan buat anak buah Bojan Hodak. Namun, Arbil pasti akan memastikan Kelantan bakal menerima kekalahan pertama di kubu sendiri pada tahun ini.