February 4, 2012

Bosko Balaban Milik Selangor

BEKAS penyerang kebangsaan Croatia, Bosko Balaban, semalam sah menandatangani kontrak dengan skuad Liga Super Selangor, sekali gus dijangka dapat diturunkan bertemu Lions XII di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.
Balaban, 34, tiba di tanah air pada Isnin dan terus diuji beraksi selama 57 minit ketika perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik negara, Selasa lalu.
Biarpun belum menunjukkan kemampuan sebenarnya dalam perlawanan itu, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap berkeyakinan kehadiran Balaban mampu mengatasi masalah ketumpulan penyudah yang dialami Red Giants. 

“Memang saya rancang nak turunkan dia (Balaban) pada 15 minit terakhir babak pertama dan 15 minit awal babak kedua kerana dia masih ‘jetlag’. Tapi R Surendren tercedera dan saya masukkan dia seawal minit ke-13. 

“Lagipun ketika itu, hujan lebat dan dia mungkin takut tercedera kerana Selangor belum menandatanganinya. Apapun berdasarkan reputasinya, saya yakin dia pilihan tepat kami,” kata Irfan ketika dihubungi, semalam. 

Skuad Selangor yang tidak berlatih semalam, bakal kembali menyambung sesi latihan petang ini dan ia menjadi latihan rasmi pertama Balaban sebagai pemain Selangor. 
“Jika ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) dapat cepat, dia boleh diturunkan untuk bertemu Lions XII. Tapi seorang lagi import, Ramez Dayoub tidak dapat beraksi kerana digantung satu perlawanan,” jelas Irfan. 

Balaban yang pernah mewakili Dinamo Zagreb, Aston Villa, Brugge dan terakhir, Panionios diambil bagi menggantikan penyerang kebangsaan Congo, Lelo Mbele yang ditamatkan kontrak kerana gagal pulih daripada kecederaan panjang.