February 4, 2012

Mourinho Akan Kembali Bersama Chelsea?


LONDON - Jose Mourinho membuat pengakuan mengejutkan semalam, beliau bakal meninggalkan gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid pada musim panas ini untuk kembali ke pangkuan Chelsea.

Mourinho yang turut digelar The Special One itu pernah menjulang Chelsea merangkul dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, selain memenangi tiga trofi lain sepanjang tempoh tiga tahun di Stamford Bridge.

Sumber rapat pengurus kelahiran Portugal itu malam tadi mendedahkan: "Jose akan kembali ke Chelsea".

Bagaimanapun katanya, kali ini, Mourinho akan berkeras kepada pemilik Chelsea, iaitu jutawan Rusia, Roman Abramovich supaya membenarkan beliau memiliki kawalan penuh ke atas pasukan dan bebas daripada sebarang campur tangan pihak lain.

Jika Abramovich dapat memberi jaminan tersebut, Mourinho berjanji akan mengembalikan semula kegemilangan kelab Blues.

Sumber itu turut menambah: "Beliau (Mounrinho) tahu keadaan sekarang sudah menjadi semakin kusut. Hendak membuat impak pada masa ini tidak lagi semudah seperti yang pernah dilakukan dulu.

"Memenangi kejuaraan Liga Perdana pada dua tahun pertama bersama kelab itu (selepas 50 tahun tidak pernah menang) adalah pencapaian menakjubkan. Sebab itu beliau masih disayangi oleh peminat dan kerana itu beliau juga masih menyayangi kelab. Mereka pernah berkongsi hari-hari yang istimewa.

"Bagaimanapun sebelum sebarang persetujuan dicapai, beliau mahu menjelaskan semua perkara dengan Roman Abramovich. Beliau akan cakap 'Roman, anda adalah pemilik dan saya boss di sini. Mari kita bekerjasama dan kuasa di tangan kita'.

"Bagi Jose, kalau ia berlaku, maka itu akan menjadi perkongsian yang sangat sempurna."

Abramovich mungkin telah digoda dengan kepulangan semula Mourinho. Kelab London itu masih mencari pengurus sesuai sejak tindakan mengejut Mourinho meninggalkan mereka pada 2007. Antara yang telah mengisi kerusi panas itu adalah Avram Grant, Phil Scolari, Guus Hiddink, Carlo Ancelotti dan sekarang, bekas pembantu Mourinho, Andre Villas-Boas.

Hiddink memenangi Piala FA 2009, manakala Ancelotti membawa pasukan itu muncul juara berganda, Liga Perdana dan Piala FA pada 2010. Pengurus sekarang, Villas-Boas pula sekadar meletakkan Blues di tangga keempat liga, 12 mata di belakang pendahulu.

Villas-Boas dibawa masuk dengan kos hampir 25 juta pound (RM120 juta) untuk kontrak tiga tahun.

Bagi Mourinho, beliau sentiasa menganggap tugasnya di Stamford Bridge belum selesai. Biarpun sudah membantu Chelsea menjuarai semua empat kejuaraan domestik - Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Perisai Komuniti, 
namun beliau tidak pernah menjulang Liga Juara-Juara Eropah bersama mereka.

Menambah koleksi kejuaraan Eropah yang pernah diraih bersama Porto dan Inter Milan menjadi cita-cita utama Mourinho apabila kembali ke kelab London itu nanti, impian besar yang turut dikongsi bersama Abramovich. - AGENSI