January 30, 2011

Pasca Piala Sumbangsih

Semalam berlangsungnya sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2011/2012. Sepak mula yang pertama adalah antara Sabah dan Terengganu yang mana perlawanan tersebut diadakan pada waktu petang akibat lampu limpah di stadium Sabah yang tidak menepati piawaian FAM. Namun begitu, apa yang menarik malam tadi semestinya perlawanan antara dua gergasi bola sepak Malaysia iaitu Selangor dan Kelantan. Perlawanan ini bukan saja melibatkan mata dalam Liga Super bahkan ia juga mengambil kira perebutan Piala Sumbangsih 2011. Dalam perlawanan tersebut Kelantan berjaya menewaskan Selangor dengan jaringan 2-0.

Jaringan Kelantan disempurnakan melalui sepakan penalti seawal minit ke-7 yang disudahkan oleh Nor Shahrul Idlan Talaha dan satu lagi gol adalah hasil sepakan percuma yang cantik yang diambil oleh Badhri Radzi pada minit ke-73. Dengan jaringan dua gol oleh Kelantan itu sekaligus menutup ruang Selangor bagi mencapai kejayaan dalam perlawanan menentang Kelantan di halaman sendiri.

Dalam perlawanan malam tadi dapat dilihat dengan jelas penguasaan Kelantan dalam permainan. Hal ini dapat dilihat dalam babak-babak awal perlawanan yang menyaksikan serangan yang bertali arus dari Kelantan ke atas pasukan Selangor. Kelemahan bahagian tengah Selangor dikatakan sebagai punca utama kekalahan pasukan Gergasi Merah yang cuba untuk mencari gelaran yang ke-3 berturut-turut apabila mereka berjaya melakukannya pada musim 2009 dan musim 2010.

Jurulatih Selangor K.Devan mengatakan bahawa pemainnya begitu tertekan dengan corak permainan dan juga persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan, lebih-lebih lagi apabila mereka beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia The Reds Warriors yang memenuhi ruang Stadium Shah Alam.

Walau apa pun, ini hanyalah perlawanan pertama dalam saingan Liga Super. Perjalanan masih lagi panjang dan masih banyak perlawanan yang perlu ditempuhi oleh setiap pasukan yang berada dalam Liga Super. Walau pun begitu, tahniah buat pasukan Kelantan kerana berjaya membawa pulang Piala Sumbangsih ke Kota Bharu buat kali pertama. Bagi Selangor pula, masih banyak yang perlu diperbaiki dan hal ini telah dikesan oleh K. Devan sepanjang 90 minit mereka beraksi di Shah Alam.