September 20, 2011

Kelayakan Olimpik London 2012 | Misi Satu Mata!


Jurulatih tempatan berpendapat peluang Malaysia atasi Jepun, esok tipis. 

CABARAN perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Jepun, esok cukup besar buat skuad Olimpik negara, tetapi peluang untuk barisan pemain muda negara mencuri mata di Stadium Tosu, Wilayah Saga tetap wujud andai disiplin dan semangat juang tinggi diterapkan.

Hakikat itu diakui beberapa jurulatih tempatan yang menganggap harapan untuk menang memang tipis kerana Jepun berada pada kelas lebih tinggi, namun kejutan masih mampu dilakukan skuad kendalian Ong Kim Swee yang sudah mencipta kejayaan mara hingga ke peringkat ini.
“Harapan kita (untuk menang) memang berat. Kita tidak boleh nafikan Jepun memang lebih hebat daripada kita, jadi jika kita beranggapan begitu lebih mudah,” kata bekas pengendali pasukan kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim yang kini bersama pasukan PKNS FC. 

“Tetapi saya percaya pemain Harimau Muda mendapat banyak pendedahan di peringkat antarabangsa dan mereka tahu bagaimana menghadapi cabaran sebesar ini. Mereka akan bermain dengan berhati-hati dan cuba mengikat lawan lebih kuat seperti Jepun. 

Pada pengamatan jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu, Kim Swee dan anak buahnya sudah merakam kejayaan dengan sampai ke peringkat kumpulan kelayakan Olimpik 2012. “Sebarang kemenangan atau mata dikutip adalah bonus. Jika mereka seri di Jepun, itu sudah cukup baik,” kata Karathu. 

“Jurang antara kedua-dua pasukan boleh dikurangkan jika pemain kita ada sikap dan komitmen tinggi.” 
Pengendali Selangor, K Devan turut menyuarakan nada sama apabila berkata: 
“Memang sukar tetapi keputusan seri masih dalam jangkauan. Dalam bola sepak apa pun boleh terjadi. Pemain negara tidak harus terlalu menghormati lawan kerana pemain muda kita ada ramuan membuat kejutan.” 

Seorang lagi bekas pengendali kebangsaan, B Sathianathan, merasakan keputusan seri sudah cukup membanggakan ketika bertemu lawan sukar seperti Jepun. “Kita perlu berhati-hati dengan serangan Jepun, mereka pasukan yang baik dan pemain kita perlu beri 100 peratus menghadapi mereka,” katanya. 

Bekas pemain negara, Dollah Salleh beranggapan tahap permainan Jepun terlalu tinggi tetapi yakin pemain muda negara tidak akan menghampakan penyokong tempatan. 

“Corak permainan mereka jauh berbeza berbanding pasukan dulu, mereka lebih pantas dan mempunyai taktikal baik. Satu mata tidak mustahil untuk dibawa pulang,” kata jurulatih Pahang itu. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!