September 20, 2011

Ferguson Mula Resah


Young menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan buat Man United. 

MANCHESTER: Alex Ferguson memberi isyarat dia mungkin perlu menilai semula corak permainan menyerang Manchester United selepas menyaksikan pasukan kendaliannya seri 3-3 dengan FC Basel di Old Trafford.
United sebelum ini beraksi cemerlang dalam kempen Liga Perdana Inggeris, menghasilkan 22 gol dalam hanya enam perlawanan dengan purata lebih tiga gol pada setiap perlawanan.
Pada pertemuan Kumpulan C Liga Juara-Juara itu kelmarin, United tampak seperti mampu berpesta gol lagi selepas Danny Welbeck meledak dua gol untuk meletak United 2-0 di depan. 

Namun United, yang kehilangan Wayne Rooney, tenggelam diasak kebangkitan lawan dari Switzerland itu pada babak kedua hingga kerap melepasi benteng pertahanan dibarisi Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones dan Fabio Da Silva. 

Fabian Frei merapatkan jurang buat pelawat sebelum Alex Frei menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil serangan balas pantas. United semakin goyah dan kesilapan Jones menghadiahkan penalti buat Basel yang mudah disempurnakan Alex Frei untuk meletak pelawat di depan. 

Walaupun United menyamakan kedudukan sejurus sebelum tamat permainan menerusi Ashley Young, Ferguson mengakui dia bimbang dengan rentak pasukannya yang membiarkan Basel bangkit selepas mendahului dua gol. 
“Saya rasa permainan kami agak cuai, dan saya perlu menilainya semula,” kata Ferguson. “Kami perlu memberi lebih tumpuan pada bahagian itu. Terlalu ramai pemain mara ke kawasan lawan, terlalu ramai. 

“Serangan pada babak pertama memang berkesan, tetapi kemudian pemain cuai dan membiarkan kubu diasak. Saya rasa ini satu pendedahan baru buat pemain mengenai bola sepak Eropah yang sebenar.”

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!