August 28, 2011

The Blues selesa benam Norwich


INSIDEN menyebabkan Drogba (kiri) mengalami kecederaan apabila bertembung penjaga gol Norwich City John Ruddy malam tadi.

Chelsea memerlukan jaringan lewat permainan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas barisan 10 pemain Norwich City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi yang dicemari insiden kecederaan serius Didier Drogba di Stamford Bridge.
Tiga mata penting itu membolehkan skuad Andre Villas-Boas melonjak ke tangga teratas, mengatasi Wolves yang seri tanpa jaringan dengan Aston Villa, menerusi perbezaan gol.
Pendatang baru EPL, Norwich mengikat kedudukan 1-1 apabila Grant Holt menghukum kesilapan penjaga gol Blues, Hilario pada minit ke-62 untuk memadam jaringan awal Bosingwa pada minit ke-6. 

Begitupun, Drogba terpaksa diusung keluar apabila terjatuh akibat pelanggaran dengan penjaga gol Norwich, John Ruddy hingga mencemaskan penyokong tetapi Frank Lampard memastikan kemenangan kali kedua Chelsea menerusi sepakan penalti lapan minit sebelum tamat dan pemain baru dari Valencia, Juan Mata memastikan satu gol pada minit terakhir. 

Everton pula mencatat kemenangan pertamanya selepas menewaskan Blackburn Rovers 1-0 di gelanggang lawan selepas pemain tuan rumah Junior Hoilett dan Mauro Formica masing-masing gagal menyempurnakan dua sepakan penalti sebelum Mikel Arteta menyempurnakan penalti ketika masa kecederaan. 

Pendatang baru, Swansea masih menanti gol pertama dalam EPL selepas terikat tanpa jaringan dengan Sunderland, manakala Wolves terus mengekalkan permulaan menarik apabila seri 0-0 dengan tetangga Aston Villa. 
Anak buah Mick McCarthy memenangi dua perlawanan pembukaan menentang Blackburn dan Fulham dan mempamerkan aksi mantap untuk mengekang Villa dalam perlawanan tetangga yang sengit itu. 

Wigan juga mengekalkan rekod tanpa kalah apabila dua gol menarik penyerang Argentina, Franco Di Santo membolehkan mereka menang 2-0 ke atas satu lagi pendatang baru EPL, Queens Park Rangers. 

Di Santo menyumbat gol ketiga peribadinya sejak berpindah dari Chelsea dengan yuran 2 juta pound (RM9.72 juta) Ogos lalu dengan menjaringkan gol pada setiap babak untuk memberikan Wigan kemenangan musim ini selepas dua seri. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!