August 25, 2011

Lukaku bangga disamakan dengan Drogba



 Pemain baru Chelsea, Romelu Lukaku yang dilabel sebagai pengganti Didier Drogba bangga apabila dibandingkan dengan penyerang bintang serta dianggap mempunyai persamaan yang ketara dari segi corak serangan dan gaya permainan.
Pemain yang dibeli dari kelab Belgium, Anderlecht dengan yuran perpindahan bernilai kira-kira £18 juta (RM88.4 juta), pemain berusia 18 tahun itu kini dilapor menimba ilmu daripada Drogba.

Susuk tubuhnya yang sasa dan pergerakan yang pantas menyebabkan ramai pengkritik membayangkan dirinya sebagai pengganti Drogba.
Namun kini Lukaku mendalami ilmunya dengan mendapat tunjuk ajar daripada Drogba, dua kali Pemain Terbaik Afrika. “Saya berasa amat bangga kerana dibandingkan dengan Didier,” kata Lukaku kepada pemberita, kelmarin selepas diperkenalkan bersama-sama seorang lagi pemain baru, Oriol Romeu. “Setiap masa saya meluangkan masa bercakap dengannya dan duduk di sebelahnya dalam bilik persalinan. “Saya sentiasa mendengar nasihatnya dan Nico (Nicolas Anelka) and Fernando (Torres) juga tidak lokek memberi tunjuk ajar dan saya gembira kerana duduk bersama barisan penyerang bertaraf dunia.

“Bagaimanapun, saya datang ke Chelsea bukannya untuk menggantikan Didier tapi hanya untuk beraksi dengan kelab ini dan berharap dia akan kekal selama mungkin supaya saya boleh beraksi bersamanya dan terus belajar daripadanya. Dia adalah penyerang bertaraf dunia,” kata Lukaku.

“Ketika kami melakukan latihan menyepak selepas sesi latihan rasmi, dia menasihati supaya fokus terhadap bola sehingga saat akhir. Mungkin ia remeh tapi hasilnya memuaskan.” 


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!