November 26, 2011

Chong Wei Mahu Balas Dendam


SELEPAS dikecewakan Lin Dan di Terbuka Hong Kong minggu lalu, laluan ‘balas dendam’ kini terbentang buat jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei (gambar) apabila sekali lagi akan berentap dengan musuh tradisinya itu pada separuh akhir Terbuka China di Shanghai, hari ini. 

Kedua-duanya mara selepas melepasi halangan suku akhir semalam, dengan Chong Wei selaku pilihan utama menewaskan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-18, 21-13 dalam tempoh 39 minit manakala ‘Super Dan’ menundukkan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-17, 21-14 dalam tempoh 42 minit.
Berdasarkan rekod, pertemuan hari ini adalah kali kelima kedua-dua jaguh itu bertemu sepanjang tahun ini dengan juara dunia dan Olimpik itu mempunyai kelebihan dari segi psikologi apabila mengungguli tiga pertemuan termasuk di separuh akhir Terbuka Hong Kong, minggu lalu.
Kemenangan 21-16, 21-14 Lin Dan di Hong Kong, mencalar rekod bersih Chong Wei sebelum ini apabila dia tidak pernah gagal mara ke final dalam semua 11 kejohanan yang disertai tahun ini. 

Chong Wei turut tewas di final Kejohanan Dunia dan Terbuka Korea kepada Lin Dan, tetapi menundukkan sensasi China itu di final Seluruh England, Mac lalu. 

Pertemuan malam ini menjadi detik terbaik buat Chong Wei, menebus kekalahan itu dan merapatkan kembali jurang rekod pertemuan, selain cuba memalukan musuhnya itu yang memburu kejuaraan kali kelima selepas muncul juara pada 2003, 2004, 2008 dan 2009 di laman sendiri. 

Chong Wei tidak pernah menjuarai Terbuka China, sebaliknya dua kali muncul naib juara pada 2007 dan 2008. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!