May 1, 2013

Laporan Perlawanan Kelantan 3-1 Ayeyawady United: Red Warriors Maju Ke Peringkat Kalah Mati AFC Cup 2013



Satu daripada dua perlawanan terakhir Kumpulan G Piala AFC 2013 menyaksikan perlawanan antara Kelantan menentang Ayeyawady United yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV. Sebelum perlawanan ini, Kelantan sudah layak untuk ke peringkat kalah mati, namun mereka mahu menjadikan perlawanan terakhir ini sebagai sebahagian daripada satu sumber moral kepada pasukan. 

Permainan bermula dengan agak pantas pada 20 minit pertama. Pada minit ke-20 Petratos berjaya menguji barisan pertahanan dan penjaga gol pelawat melalui rembatan dari luar kotak, namun rembatan itu tersasar dari gawang Ayeyawady. Pada minit ke-24 Lek Kcira bermain dengan baik untuk mengucar-ngacirkan pertahanan pelawat.

Kelantan terus memberikan asakan kepada Ayeyawady, dan sekali lagi hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-29. Petratos memberi ruang kepada Norfarhan untuk menghasilkan gol namun sepakan Farhan pula tersasar.

Sepuluh minit menuju penghujung babak pertama, Haris Safwan sepatutnya meletakkan namanya sebagai penjaring namun bolanya sekadar menggegar palang pasukan pelawat.

Sebelum kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan, Red Warriors berjaya mendapat gol pertama pada minit ke-42. Sepakan percuma yang diambil Petratos berjaya ditanduk masuk oleh Nwaneri yang berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan Ayeyawady.

Bermulanya separuh masa kedua, Kelantan terus menerus melancarkan serangan ke kubu pasukan pelawat. Petratos masih lagi mencari gol pertamanya untuk perlawanan ini, dan membuat percubaan dari jarak 20 meter pada minit ke-54. Namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol lawan. Empat minit kemudian, Petratos sekali lagi membuat percubaan yang hampir sama namun berjaya dinafikan Min Khant.

Akhirnya pada minit ke-69, Kelantan menemui gol kedua dengan bola yang meluncur seperti roket. Tapi gol ini bukan datang dari Petratos sebaliknya dari pemain pertahanan muda Kelantan, Nik Shahrul Azim.

Namun Ayeyawady berjaya membuatkan penyokong tuan rumah terdiam seketika apabila berjaya merapatkan jurang gol melalui jaringan Nay Lin Tun.

Namun semangat perjuangan Tok Janggut terus membara dalam diri setiap pemain Kelantan dan hasilnya sepakan penjuru yang diambil Badhri Radzi terus meluru masuk ke dalam gawang dan kembali menceriakan penyokong setia The Red Warriors.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-1 dan Kelantan layak untuk ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan G.