April 30, 2013

Preview Kelantan vs Ayeyawady: Perlawanan Tebus Maruah!


The Red Warriors kini mengalami masalah tidak konsisten dalam musim ini selepas berjaya mendapat tiga kejuaraan musim lepas, akan turun beraksi untuk mengembalikan maruah setelah tewas 6-1 kepada Maziya Sports and Recreation Club minggu lepas. Akibat daripada kekalahan itu, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa meminta supaya ianya disiasat bagi mengetahui punca dan masalah yang berlaku dalam kem Kelantan.

Kelantan berjaya mencatat kemenangan 3-1 ke atas T-Team pada Sabtu lepas, dan ini jelas mampu meningkatkan moral pemain untuk bermain dengan baik malam ini bagi memastikan mereka dapat menjadi juara kumpulan. Dimi Petratos akan bermain dalam kesebelasan utama malam ini setelah berjaya menghasilkan dua gol dalam pertemuan sebelum ini yang menyaksikan Kelantan berjaya menewaskan Ayeyawady 3-1 di gelanggang lawan. Haris Safwan dan Norfarhan juga mungkin akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Walaupun secara matematik Ayeyawady telah tersingkir dari saingan Piala AFC, mereka mungkin akan cuba untuk mencari sesuatu yang berharga di gelanggang lawan setelah mengetahui pasukan tuan rumah mengalami keletihan akibat jadual yang padat.

Prestasi pelawat dalam Piala AFC musim ini tidaklah begitu baik dimana mereka kalah dalam empat daripada lima perlawanan peringkat kumpulan. Bagaimanapun, prestasi mereka dalam saingan liga tempatan begitu bagus dan kini menduduki tangga ketiga liga, tidak pernah tewas dalam lima perlawanan terakhir. 

Sebagai perlawanan pemanas badan sebelum perlawanan ini, mereka telah menewaskan Zwekapin United FC dengan jaringan 2-0 pada Jumaat lepas. Gol dijaringkan oleh penyerang import dari Brazil Leandro Duarte dan pemain tengah Jepun, Satoshi Otomo.