April 18, 2013

Red Warriors Tetap Garang Disebalik Jadual Yang Padat


PENGENDALI The Red Warriors, Bojan Hodak memuji persembahan anak-anak buahnya selepas kejayaan membenam Sarawak 2-0 pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri , Petra Jaya kelmarin.

Ini sekali gus menyaksikan Kelantan layak ke pusingan separuh akhir dengan agregat 4-1 walaupun beraksi dalam keadaan kepenatan selepas mengharungi jadual yang padat.

Hodak berkata, minggu lalu pasukannya beraksi dalam dua perlawanan iaitu pada kempen Piala AFC di Vietnam sebelum tewas 1-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super.

"Para pemain mengikuti segala strategi dan taktikal yang dirancang sejak wisel permulaan lagi dengan melancarkan asakan ke kubu Sarawak.

"Kita tahu, sekiranya kita mendapat gol awal, kita akan melemahkan moral para pemain Sarawak untuk bangkit pada aksi di laman sendiri itu," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Katanya, melalui dua jaringan tersebut, anak-anak buahnya berjaya meranapkan harapan pemain Sarawak untuk bangkit memburu slot ke pusingan separuh akhir Piala FA walaupun bermain di hada- pan kira-kira 20,000 penyokong setia mereka.

"Saya melihat banyak beberapa kelemahan dikenal pasti dalam pasukan kami pada perlawanan tersebut, namun para pemain tetap mampu menampilkan aksi terbaik.

"Kita akan membuat beberapa pertukaran selepas ini sebelum turun menentang Selangor PKNS FC, Jumaat ini (esok).

"Selang empat hari selepas itu, kita akan bertandang ke Maldives untuk menentang Maziya SRC dalam saingan Piala AFC sebelum melayan kunjungan T-Team di laman sendiri dalam saingan Liga Super pula," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, permainan kurang agresif serta sering membuat hantaran tidak tepat telah membuka ruang kepada pasukan lawan untuk menutup peluang mereka beraksi pada separuh akhir.

"Kami melepaskan dua gol mudah pada separuh masa pertama dan situasi itu telah melunturkan segala perancangan kami.

"Kami juga dihukum oleh pengadil perlawanan yang membatalkan tiga jaringan Sarawak pada perlawanan tersebut," Alberts.

Perlawanan itu juga terpaksa dihentikan kira-kira 10 minit pada minit ke-57 berikutan tindakan penyokong tuan rumah yang membaling objek ke kawasan padang.

Malah, seorang anggota polis yang sedang bertugas mengalami kecederaan di pipi selepas dibaling dengan batu oleh penyokong sejurus sebelum tamat perlawanan.