April 14, 2013

Laporan Perlawanan Kel 1-3 ATM: Gladiator Runtuhkan Kubu Red Warriors



Dua pasukan ini bertemu kembali selepas seminggu dalam perlawanan di Seremban menyaksikan Kelantan berjaya mencatat kemenangan dengan jaringan 3-2. Disebalik perlawanan minggu lepas, malam tadi sebelum perlawanan dimulakan, kedua-dua pasukan mempunyai semangat juang yang begitu tinggi. Kelantan mempunyai misi untuk mengekalkan rentak kemenangan manakala bagi ATM pula adalah untuk membalas dendam di atas kekalahan lampau. Pasukan tuan rumah bermula garang pada 10 minit pertama manakala ATM pula berusaha untuk menyerap tekanan yang diterima oleh tuan rumah.

Namun penyokong tuan rumah terdiam pada minit ke-11 apabila kebuntuan dapat dipecahkan, namun ia bagi pasukan ATM.  Rembatan berbahaya dari Hairuddin Omar dari luar kotak tertampan pertahanan Kelantan yang sekaligus memperdaya Khairul Fahmi yang seudah bersedia merebahkan badan ke arah yang silap.

Kelantan masih bermain dengan tenang walaupun ketinggalan dengan satu jaringan. Kelantan mendapat sepakan percuma pada minit ke-14. Hasilnya, sepakan percuma 20 meter itu nyaris-nyaris memberikan gol penyamaan buat Kelantan.

Nor Farhan, hero Kelantan dalam perlawanan lepas, gagal untuk menemui jaring pada minit ke-21. Disckson Nwakaeme yang baru disenaraikan dalam skuad Liga Super, bermain dengan baik untuk menolak bola kepada Nor Farhan yang menunggu di hadapan pintu gol, namun sepakannya melambung tinggi.

Belum sempat Farhan melupakan kekecewaan itu, seminit kemudian ATM menggandakan kedudukan. Marlon berlari dengan pantas untuk memperdayakan pertahanan Kelantan sebelum membuat hantaran lintang yang perlahan ke dalam kotak penalti. Christie Jayaselan menyambut hantaran itu dan terus menjadikan kedudukan 2-0. Ini adalah gol pertama Jayaselan musim ini.

Berada dalam kedudukan terdesak, Kelantan terus memberikan tekanan kepada ATM. Nwakaeme yang menjadi ayam tambatan baru Kelantan, membuat rembatan rocket sejauh 30 meter. Namun bola hanya singgah di palang sebelum melantun di luar garisan gol.

Keadaan hujan lebat di Kota Bharu merancakkan lagi perlawanan yang berlangsung dengan sengit.

Bagaimanapun, Kelantan berjaya merapatkan jurang gol apabila sepakan penjuru yang berbahaya dari Badhri Radzi berjaya mencari Faiz Subri. Pemain muda yang sedang meningkat naik dalam arena Liga Super itu membuat satu rembatan dari sudut yang agak sukar untuk menewaskan Farizal di gawang.

Nor Farhan sekali lagi mempunyai peluang untuk menebus kembali kesilapannya sebelum tamat separuh masa pertama. Dengan hanya seorang pertahana sahaja yang perlu ditewaskan, dia mengambil keputusan untuk menghantar bola itu kepada Badhri Radzi, namun berjaya dihalang pertahanan ATM.

Kesilapan dari Farizal hampir memberi gol penyamaan buat Kelantan selepas bermulanya separuh masa kedua. Nor Farhan yang masih mencuba untuk menebus kesilapannya, melakukan chip untuk menewaskan Farizal. Farizal berjaya menampan bola itu namun dalam keadaan kelam-kabut, bola itu terlepas dari tangan Farizal dan berjaya dikeluarkan oleh pertahanan ATM.

Beberapa minit kemudian, sepakan penjuru Kelantan sekali lagi memberi ancaman kepada ATM. Ketika Kelantan berusaha sedaya upaya untuk mencari gol penyamaan, dengan memasukkan pemain baru, Fakri Saarani, ATM menambah satu lagi gol menerusi Marlon Alex James.

Kelantan masih belum menyerah kalah apabila Nwakaeme sekali lagi berjaya membawa bola ke dalam kawasan kotak penalti namun gagal mendapat penyudah seperti yang diharapkan.

Selepas gol ketiga ATM, Kelantan seolah-olah hilang karakter sebagai pahlawan apabila bermain dengan agak gopoh dan banyak melakukan kesilapan mudah. Kelantan tewas 3-1 kepada pasukan pelawat dan sekaligus menyaksikan ianya kekalahan pertama Kelantan di kubu sendiri selepas setahun lebih mempertahankannya.