April 15, 2013

Kekalahan 1-3 di Tangan ATM: Annuar Musa Salahkan Jadual Perlawanan yang Padat


Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, percaya kekalahan Kelantan kepada ATM adalah disebabkan masalah kecergasan akibat jadual perlawanan yang padat



Tan Sri Annuar Musa percaya kekalahan 3-1 di gelanggang sendiri kepada ATM, setelah 32 perlawanan tanpa kalah di Kota Bharu adalah disebabkan oleh terlalu penat selepas bermain tiga perlawanan yang melibatkan piala, manakala ATM pula banyak berehat sebelum perlawanan malam semalam.

Ramai pihak berpendapat anak buah Bojan Hodak telah kehabisan tenaga setelah terpaska melalui satu jadual perlawanan yang amat menggila dalam arena bola sepak. Bahkan, liga-liga bertaraf dunia sendiri tidak pernah mempunyai jadual yang padat seperti mana jadual perlawanan Kelantan. 

Walaupun begitu, Tan Sri Annuar Musa dapat menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka.

"Keletihan dan penggantungan Obinna memberi kelebihan buat ATM yang turut bermain lebih cemerlang dari kita," kata Annuar melalui laman Facebooknya.

Dalam perlawanan itu, ATM berjaya memperolehi tiga jaringan gol di Kota Bharu untuk mengutip tiga mata berharga dari gelanggang juara.

Annuar bagaimanapun berharap kekalahan itu tidak mematahkan semangat pemain Red Warriors dan akan memastikan mereka terus melakukan yang terbaik sehingga liga tamat.