April 11, 2013

Bojan Puji Kehebatan Anak Buah



Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, mengukir senyuman di wajahnya apabila berjaya menewaskan Da Nang 1-0 di Vietnam untuk memastikan Kelantan mendapat tiga mata penuh yang amat berharga dalam saingan Piala AFC.

The Red Warriors menang perlawanan ini setelah satu-satunya gol yang dijaringkan dalam perlawanan ini hadir melalui pemain import Kelantan, Dickson Nwakaeme. Dickson yang mendapat bola hantaran jauh dengan pantas menuju ke arah gol walaupun dihalang oleh dua pertahanan Da Nang sebelum menolak masuk bola ke gawang lawan.

Kelantan memulakan perlawanan tanpa beberapa pemain tonggak kerana direhatkan untuk perlawanan menentang ATM.

Ketiadaan Piya jelas menampakkan kekurangan penguasaan bola di bahagian tengah pasukan Kelantan dalam perlawanan semalam.

Namun dengan kemasukan Indra, corak permainan Kelantan terus berubah dan Kelantan bermain dengan sedikit offensive untuk meranapkan kedegilan jentera pertahanan tuan rumah.

Selepas perlawanan Bojan berkata: "Saya gembira menang hari ini walaupun tanpa beberapa tonggak utama.

"Kredit harus diberikan kepada penjaga gol kami, Khairul Fahmi Che Mat dan pertahanan yang bermain dengan begitu baik hari ini untuk mengekang asakan jentera serangan lawan."

Dengan kemenangan ini, Bojan yakin Kelantan akan mara ke peringkat seterusnya.

Kelantan meneruskan rentak tanpa kalah dalam saingan Piala AFC apabila mencatat tiga kemenangan dan satu seri dan sekaligus meletakkan mereka sebagai pendahulu kumpulan G.

Random post: "Saya pilih Nwakaeme"- Piya