December 31, 2012

Bojan Hodak Yakin Kelantan Akan Mara ke Pusingan Kalah Mati Piala AFC 2013


Jurulatih The Red Warrior percaya pasukannya mempunyai peluang yang cerah untuk ke pusingan kalah mati dalam saingan Piala AFC musim depan.


Jurulatih Kelantan yakin pasukannya akan layak ke saingan 16 pasukan dalam perlawanan Piala AFC musim depan yang akan bermula pada bulan Mac 2013.

Jurulatih yang berasal dari Croatia percaya Red Warriors akan bermula sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan G bersama-sama SHB Da Nang dari Vietnam.

Namun begitu, beliau juga dapat merasakan Ayeyawadi United, pasukan yang mengalahkan mereka di Myanmar musim lepas akan menjadi pesaing hebat dalam saingan yang bakal bermula tiga bulan lagi.

"Saya fikir Da Nang dan Kelantan merupakan pasukan pilihan namun kami perlu berhati-hati dengan Ayeyawady, mereka menewaskan kami di Myanmar musim lepas,"katanya.

Apabila ditanya tentang ketiadaan dua penyerang berbisa musim lepas, Norshahrul Idlan Talaha (Johor Darul Takzim) dan Mohammad Ghaddar (Felda United) akan menjejaskan momentum pasukan selepas mengharungi tahun yang cemerlang, beliau dengan tenang menjawab "Pemain datang dan pergi. Perkara biasa apabila pemain berbisa meninggalkan kelab apabila mendapat tawaran yang lebih baik. Saya juga melakukan perkara yang sama."

"Kami mempunyai beberapa pemain berbakat dalam pasukan; mungkin kami mampu meningkatkan prestasi mereka untuk menjadi yang lebih baik daripada yang telah pergi."

"Saya yakin yang kami bakal mendapat keputusan yang lebih baik pada musim akan datang," tambah beliau.

Undian Piala AFC berlangsung pada 6 Disember dan menyaksikan dua nama besar bola sepak Malaysia iaitu Kelantan dan Selangor diundi dalam kumpulan G dan H. Kedua-dua pasukan akan memulakan perlawanan pada 6 Mac 2013.

Kelantan akan menerima kunjungan Maziah SRC (Maldives) di Kota Bharu, manakala Selangor akan menjadi pasukan pelawat kepada Kingfisher East Bengal Of India.