January 13, 2012

Marlon Cipta Ceria Buat Tentera



KHABAR gembira menyemarakkan Tentera untuk menghadapi aksi kedua Liga Perdana menentang MBJB di Muar, hari ini apabila tonggak penyerang import, Marlon Alex James disahkan boleh beraksi.
Penyerang tinggi lampai dari St Vincent & Grenadines itu terpaksa dikeluarkan pada babak kedua perlawanan pembuka tirai Liga Perdana menentang NS Betaria FC, Rabu lalu selepas terbabit dalam pelanggaran dengan penjaga gol lawan, namun dia disahkan sudah pulih daripada kecederaan untuk memimpin jentera serangan skuad bimbingan B Sathianathan itu.
“Pasukan perubatan sudah menjalankan pemeriksaan x-ray ke atas Marlon dan mendapati dia hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu diturunkan pada perlawanan menentang MBJB Muar,” kata Sathia selepas mengendalikan sesi latihan pagi semalam. 

Sathia berkata, Marlon yang menjaringkan kedua-dua dua gol Tentera ketika membenam NS Betaria FC sudah kembali menjalani latihan tapi dia belum membuat keputusan sama ada mahu menurunkan pemain itu. 

“Dia masih belum 100 peratus cergas dengan saya tidak mahu memburukkan lagi kecederaan itu. Masih banyak perlawanan bakal dihadapi pasukan dan saya tidak mahu kehilangan Marlon untuk seluruh musim,” katanya. 

Menurut Sathia, sekiranya Marlon tidak diturunkan, dia masih memiliki ramai pemain mampu mengisi tempat penyerang itu, termasuk pemenang Kasut Emas Liga Perdana musim lalu, Fitri Omar.--Bharian