February 21, 2012

Penentuan Villas-Boas


NAPLES – Pertembungan Chelsea di padang lawan menentang Napoli dalam Liga Juara-Juara hari ini mungkin menjadi detik penentu buat pengurus Blues, Andre Villas-Boas dan bola sepak Inggeris keseluruhannya.

Bagi kebanyakan orang, Villas-Boas yang menghuni kerusi panas di Stamford Bridge hanya menunggu masa untuk disingkirkan.

Khabar angin insiden di bilik persalinan sememangnya tidak memihak kepadanya dan beberapa keputusan perlawanan yang tidak memuaskan hati menjelaskan betapa kedudukannya tidak selamat.

Mereka hampir tersingkir dari Piala FA di tempat sendiri kepada kelab Liga Kejuaraan Birmingham City Sabtu lalu, sebelum akhirnya seri.

Villas-Boas mengakui dia tidak tahu sama ada dia akan terus menerajui Chelsea jika kelabnya gagal mengalahkan kelab Itali itu hari ini.

“Bukan saya yang menentukannya, anda harus tanya soalan itu kepada orang yang sepatutnya,” katanya merujuk kepada pemilik kelab, Roman Abramovich.

Villas-Boas mengakui pemainnya kurang keyakinan ekoran beberapa keputusan tidak memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

“Keadaan sekarang ialah kami tidak meraih keputusan yang cukup bagus untuk kami merasakan bahawa kami sebuah pasukan yang kuat.

“Namun, kami masih berada dalam kejohanan ini dan kami akan terus mendesak ke arah kemenangan.

“Perlawanan menentang Napoli memang sukar, namun kami harus membuktikan di dalam perlawanan kumpulan ini bahawa kami mampu mengatasi kepayahan,” katanya.

Chelsea akan beraksi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di laman sendiri menentang Bayer Leverkusen dengan menyedari jika mereka tidak menang, mereka berisiko tersingkir.

Mereka kini di tangga teratas kumpulan dan yang menambahkan tekanan ialah mereka secara realistik mungkin wakil terakhir kelab England. – AFP