February 21, 2012

Milan Pintas Juve


ROME - AC Milan kembali merampas kedudukan teratas Serie A selepas membenam Cesena 3-0, semalam tanpa kelibat Zlatan Ibrahimovic.

Bintang Sweden itu digantung dua perlawanan kerana menampar pemain Napoli, Salvatore Aronica pada perlawanan yang berpihak kepada Milan.

Pemain tengah Ghana, Sulley Muntari yang tampil buat pertama kali dan pemain serba boleh Belanda, Urby Emanuelson, kedua-duanya menjaringkan gol pertama untuk kelab itu dengan Robinho menyumbat gol ketiga buat Milan.

Kemenangan itu membolehkan Milan memintas Juventus untuk merampas kedudukan di puncak liga. Dua gergasi kelab Itali itu bakal bertembung sesama sendiri, minggu depan di San Siro.

Sebelum ini, Juventus menjadi peneraju Serie A setelah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Catania yang beraksi dengan 10 orang, Sabtu lalu.

Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri memuji aksi Muntari, pemain yang dipinjam dari Inter Milan.

"Dia telah bermain baik hari ini (semalam), bukan sekadar menjaringkan gol tetapi juga membantu di bahagian serangan, kami telah menandatangani pemain yang hebat.

"Saya tidak tahu mengapa Inter tidak menggunakan khidmatnya, dia membuat kami berasa selesa. Sewaktu dia beraksi di Udinese lagi dia telah mempamerkan permainan terbaiknya, tetapi dia meninggalkan kelab itu pada usianya masih terlalu muda (mewakili Portsmouth).

"Saya ingat dia akan memiliki karier yang berbeza. Tetapi kadang kala orang membuat kesilapan, namun akhirnya kita dapat menyaksikan kualiti yang ada pada dirinya," katanya kepada Sky.

Sementara itu, Udinese menghuni di tangga ketiga liga, tempat terakhir untuk beraksi dalam kelayakan Liga Juara-Juara walaupun, sekadar melakar keputusan seri 0-0 dengan Cagliari di tempat sendiri.

Lazio pula dibelasah Palermo 5-1, meneruskan aksi buruk 2012 selepas mengalami enam kekalahan daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan.

Dalam pada itu, Roma naik di tangga kelima apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Parma dan sekali gus menyingkirkan Inter Milan di tempat ketujuh setelah tumpas 0-3 kepada Bologna.

Lecce pula mengalahkan Siena 4-1, menghidupkan kembali peluang mereka untuk keluar dari zon penyingkiran. - AFP