February 21, 2012

Messi Harap Pep Sambung Kontrak


MADRID – Lionel Messi berharap jurulatih Pep Guardiola akan menyambung kontraknya dan kekal di Barcelona untuk jangka masa lama, kata pemain terbaik dunia itu selepas menjaringkan empat gol sewaktu membelasah Valencia 5-1 dalam perlawanan La Liga, semalam.

Guardiola, yang hanya berminat untuk memperbaharui kontraknya tahun demi tahun, berkata dalam sidang akhbar pra-perlawanan, Sabtu lalu bahawa dia memerlukan masa untuk membuat keputusan tentang masa depannya.

“Dia tahu apa yang kami fikirkan dan dia akan membuat keputusan apabila dia benar-benar bersedia.

“Kami berharap dia akan kekal bersama kelab, dia amat penting buat kami dan juga kelab,” kata Messi kepada televisyen Sepanyol pada temu bual di tepi padang di Nou Camp.

Messi meraikan penampilannya yang ke-200 bersama Barca dan kejayaan meledakkan 27 gol daripada 23 perlawanan musim ini - hanya satu gol di belakang penjaring terbanyak Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dan telah pun mengumpul 146 gol sejak tampil pertama kali dalam La Liga pada Oktober 2004.

Naib Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu berkata, kelab Catalan itu tidak bimbang mengenai kegagalan Guardiola menyatakan persetujuan untuk bersama kelab sehingga akhir musim ini.

“Dia merupakan jurulatih yang luar biasa dan dia yang akan menentukan skala masanya. Kontraknya memang hampir tamat dan apabila dia bersedia, dia akan memaklumkan kepada kami.

“Dengannya, tiada jangka masa yang ditetapkan. Dia merupakan seorang yang luar biasa dan kami bergantung kepadanya,” kata Bartomeu kepada televisyen Sepanyol.

Guardiola, yang membawa Barcelona menggondol 13 trofi kejuaraan sejak meneraju kelab itu pada 2008, kini sedang memburu gelaran liga keempat berturut-turut.

– REUTERS