February 2, 2012

Harimau Muda Kurang Cergas?


TAHAP kecergasan pemain skuad Harimau Muda membimbangkan.Jurulatih, Ong Kim Swee mengakui secara terbuka bahawa beliau agak bimbang dengan masalah tersebut kerana ia boleh menjejaskan prestasi pemain.
Untuk memburukkan lagi keadaan, skuad Harimau Muda masih ada empat hari sahaja lagi untuk membetulkan keadaan sebelum mereka berdepan Bahrain di Manama pada aksi pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan C bagi zon Asia.
Skuad negara masih gagal untuk mengutip sebarang mata pada aksi Kumpulan C, namun Kim Swee tetap tenang berdepan dengan situasi tersebut.
Namun, apa yang membimbangkan jurulatih yang berasal dari Melaka ini adalah tahap kecergasan segelintir pemainnya yang dilihat tidak begitu memuaskan ketika beraksi menentang Selangor pada perlawanan persahabtan di Stadium Nasional, Bukit Jali malam kelmarin yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Katanya, pemain-pemain sedia ada yang beraksi bersama persatuan atau kelab masing-masing di liga domestik tidak mempunyai masalah kecergasan.
"Selepas menyaksikan persembahan menentang skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu, saya sedikit gusar apabila ada segelintir pemain kelihatan tidak begitu cergas.
"Pemain-pemain seperti Mohd. Zubir Mohd. Azmi dan Mohammad Muslim Ahmad yang beraksi bersama Terengganu dalam Liga Super tidak mempunyai masalah stamina memandangkan mereka sentiasa beraksi bersama pasukan Pantai Timur itu.
"Tetapi, pemain-pemain Harimau Muda A seperti Gary Steven Robbat, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dilihat bergelut dengan masalah kecergasan. Mungkin disebabkan mereka baru pulih dari kecederaan.
"Pemain-pemain ini kekurangan perlawanan (persahabatan) dan mungkin ini merupakan salah satu faktor utama (masalah kecergasan). Tetapi, saya mahu memastikan mereka akan mencapai tahap sebenar sebelum aksi menentang Bahrain nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.
Selepas aksi persahabatan itu, Kim Swee turut menyenaraikan barisan pemain yang akan menggalas cabaran negara di Manama kelak.
Empat pemain diketepikan daripada skuad ke Manama iaitu Syahrul Azwari Ibrahim, Muhammad Syazwan Tajuddin, Mohd. Shahril Saari dan Muhammad Izuan Mohd. Salahuddin.
Ditanya mengenai penyingkiran Syahrul yang dianggap sebagai salah seorang pemain yang cukup menyinar pada Sukan SEA 2011 di Indonesia pada November tahun lalu, Kim Swee mempunyai alasan yang sendiri.
Menurutnya, beliau tidak mahu mengambil risiko untuk menyenaraikan Syarul, yang baru pulih daripada kecederaan.
"Saya tidak mahu terburu-buru untuk menyenaraikan Syahrul kerana takut kecederaan yang dialaminya ketika di Sukan SEA lalu kembali berulang selain masalah stamina.
"Syahrul akan menjalani latihan intensif bersama Harimau Muda B di Kuala Lumpur dan selepas itu, prestasinya akan dinilai semula," ujar Kim Swee yang berlepas ke Manama semalam.
Harimau Muda akan menentang Bahrain pada 5 Februari ini.
Pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini, skuad negara tewas 3-2.
Kini, misi Malaysia pada aksi pusingan kedua peringkat Kumpulan C ini hanya satu iaitu perlu menang semua baki tiga perlawanan bermula dengan menentang Bahrain diikuti Jepun dan Syria.