February 2, 2012

Safee Bergelar Jutawan


JAKARTA - Kontrak baru bernilai lebih RM2 juta yang ditandatangani Safee Sali dengan kelab Pelita Jaya FC untuk tempoh dua tahun akan datang menyenaraikan pemain itu sebagai pemain bola sepak Malaysia bertaraf jutawan.

Tawaran kontrak bernilai RM2 juta itu juga sekali gus menyaksikan kenaikan sekali ganda nilai tahunan kontrak Safee bagi tempoh dua musim akan datang itu.

Sebelum ini, kontrak sulung pemain itu dengan Pelita Jaya FC yang ditandatangani Januari tahun lalu bernilai AS$150,000 (RM456,000) untuk tempoh setahun.

Pakej lumayan yang ditawarkan oleh Pelita Jaya FC kepada pemain kebangsaan Malaysia itu merangkumi gaji, bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi serta faedah-faedah lain.

Sebagai pemain import bagi kelab yang berasal dari Jakarta ini juga, Safee diberi penghormatan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.

Menurut pengurus Safee, Zakaria Rahim, pengurusan Pelita Jaya FC juga menjanjikan pakej tambahan iaitu mengukuhkan imej pemain tersebut menerusi peluang muncul sebagai jurucakap produk-produk iklan di seluruh Indonesia.

"Pelita Jaya FC akan mendapatkan kontrak iklan daripada syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran," kata Zakaria kepada wartawan ketika ditemui selepas majlis pengumuman Safee kekal bersama Pelita Jaya FC untuk tempoh dua tahun lagi di sini, semalam.

Selain Safee, hadir sama pada majlis pengumuman tersebut ialah pengurus besar pasukan, Iwan Budianto dan pengurus pasukan, Lalu Mara.

Pada masa sama, Zakaria berkata, Pelita Jaya FC juga komited untuk mencari ruang dan peluang kepada Safee serta rakan sepasukannya untuk bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus.

Antara kelab-kelab yang dimiliki penuh oleh Pelita Jaya Cronus selain Pelita Jaya di Indonesia ialah Brisbane Roar FC di Australia yang akan bermain di AFC Champions League 2012.

Tidak ketinggalan CS Vise di Belgium, kelab Divisyen 2 Liga Belgium dan SAD Uruguay - sebuah kelab pembangunan pemain remaja di Uruguay.

Pelita Jaya FC juga mempunyai hubungan yang amat akrab dengan beberapa kelab lain di dunia seperti lima buah kelab di Liga Brazil yang antaranya Flamengo FC.

Sementara di Eropah pula, antara kelab yang mempunyai hubungan baik dengan Pelita Jaya FC ialah Ajax Amsterdam FC di Belanda.

Pelita Jaya Cronus juga pernah memiliki sebuah kelab Liga Perdana Inggeris iaitu Leicester City FC tetapi telah menjual pemilikan.

Perkembangan karier pemain berusia 28 tahun itu bersama Pelita Jaya FC turut membuka ruang kepadanya sebagai Duta Sekolah Bola Sepak Pelita Jaya di Sawangan, Jawa Barat, Indonesia.

Sementara untuk jaminan masa depannya pula, pengurusan sedang berbincang untuk membolehkan Safee diberi sejumlah unit pemilikan saham dalam Akademi Bola Sepak milik Pelita Jaya FC.

Akademi tersebut mempunyai sebanyak 600 pelajar di Jakarta sahaja selain memiliki rangkaian cawangan di daerah lain di Indonesia.

Selain Pelita Jaya, Safee juga ada mendapat beberapa tawaran lain antaranya Muangthong FC dan Buriram FC di Thailand.

Khidmat Safee juga diperlukan oleh empat pasukan bola sepak dari Malaysia termasuk Kelantan FA, Negeri Sembilan FA, Johor FC dan Johor FA selain pasukan Selangor FA yang sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja untuk Safee kembali kepangkuan mereka.

Sebelum ini, laporan turut menyebut, Safee menerima pelawaan dari pemilik Cardiff City FC untuk bermain di sana tetapi harus melalui proses bermain bersama kelab di Eropah yang mempunyai afiliasi dengan Cardiff City untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun dulu.

Menurut Zakaria lagi, keputusan yang dibuat oleh Safee untuk terus kekal dengan Pelita Jaya FC selepas berfikir dengan semasak-masaknya dengan mengambil kira pelbagai aspek dan risiko. - UTUSAN