January 15, 2011

Penyelewengan RM10j???

GENAP setahun Tabung Pembangunan Bola Sepak diwujudkan, sehingga kini langsung tidak ada kedengaran perkembangan mengenai program yang mahu dilaksanakan jawatankuasa terbabit menerusi suntikan dana RM10 juta oleh kerajaan.

Persoalannya kini, adakah tabung yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas kejayaan skuad bola sepak kebangsaan menamatkan penantian 20 tahun pingat emas di Sukan Sea Laos itu masih wujud? Sedangkan di awal penubuhan tabung itu, pelbagai rancangan mahu dilakukan menerusi satu jawatankuasa khas dianggotai pelbagai agensi termasuk menghantar satu pasukan mengadakan perbincangan dengan kelab bola sepak Inggeris, Everton dalam usaha mengadakan kerjasama di peringkat pembangunan akar umbi.

Semuanya seperti terbengkalai selepas mesyuarat jawatankuasa itu pada Mei tahun lalu memutuskan untuk mendapatkan seorang individu untuk memainkan peranan sebagai koordinator terlebih dulu bagi menyelaras program yang dijangka bermula selewat-lewatnya hujung tahun lalu.

Salah seorang calon pilihan memegang jawatan itu adalah Windsor John Paul, bekas penyelaras Fifa, namun beliau mengakui tidak mengetahui perkembangan terbaru tabung itu selepas mendapat tawaran hanya menerusi panggilan telefon tahun lalu.


“Saya hanya sekali dihubungi tahun lalu tapi tidak tahu lebih lanjut tugas akan diberikan. Pihak terbabit hanya tanya sama ada saya boleh berikan komitmen ataupun tidak, itu saja dan sehingga kini tidak tahu perkembangan tabung itu, sama ada ia wujud atau tidak lebih baik tanya kepada MSN (Majlis Sukan Negara).


“Untuk Malaysia sudah pastilah saya berminat dengan tugas yang ditawarkan, tapi mungkin juga mereka sudah melantik orang lain untuk memegang jawatan itu,” katanya yang kini menguruskan sebuah syarikat pengurusan sukan.

Windsor, 49, yang menamatkan tugas di Jabatan Pembangunan Fifa di Kuala Lumpur pada September 2009 selepas sembilan tahun berkhidmat turut menjadi Pengarah Pertandingan dan Teknikal AFF pada 2000-2001.


Beliau yang juga bekas ketua bahagian penyelidikan dan pembangunan FAM dan turut memainkan peranan penting menyusun semula Liga Profesional China serta menjadi koordinator gelanggang Piala Dunia di Afrika Selatan tahun lalu.

Menurutnya, kewangan memainkan peranan besar dalam sukan bola sepak dan kesudian kerajaan menyalurkan dana RM10 juta untuk tabung berkenaan seharusnya digunakan sebaik mungkin serta perlu dilaksanakan segera memandangkan senario bola sepak tanah air sudah berubah dengan kejayaan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF bulan lalu.


“Kewujudan Tabung Pembangunan Bola Sepak membolehkan lebih ramai pemain berbakat diketengahkan dan . Jadi tabung itu perlu bertindak untuk melaksanakan program peringkat akar umbi,” kata Windsor.

sumber: mymetro