January 14, 2012

Chelsea Mahu Jadi Terkuat Di London


LONDON: Pengendali Chelsea, Andre Villas-Boas yakin skuad kendaliannya akan mengakhiri musim ini sebagai kelab terkuat di London.

Juara Liga Perdana 2010 itu akan memulakan permainan 11 mata di belakang pendahulu, Manchester City apabila melayan kunjungan Sunderland di Stamford Bridge, hari ini. 
 
Dan mereka juga akan memulakan perlawanan berkenaan lapan mata di belakang sebuah lagi kelab London, Tottenham Hotspur, yang berada di tangga ketiga liga, satu tangga mengatasi Chelsea. 

Peminat Chelsea jarang berada dalam situasi di mana penyokong White Hart Lane berada lebih tinggi daripada mereka, tetapi Villas-Boas percaya walaupun Harry Redknapp dan anak buahnya tampak lebih cemerlang ketika ini, akhirnya ia tetap akan memihak pemain Chelsea.

“Mereka (Tottenham) memintas Chelsea dalam Liga Perdana musim ini,” kata Villas-Boas. “Kedua-dua mempunyai sejarah hebat tetapi sejak 10 tahun lalu, tidak ada tandingan di antara dua kelab berkenaan.

“Persoalan mengenai bola sepak yang baik selalunya menyelubungi pendahulu. Apabila berada dalam tekanan, anda tidak dapat melakukannya dengan baik dan mungkin kualiti anda terjejas. Itu mungkin faktor yang menyebabkan anda kehilangan mata.

“Manchester City tewas tiga daripada empat perlawanan dan Manchester United masih bergelut mencari rentak konsisten. Lapan mata adalah jarak yang masih mampu dikejar,” katanya. – Bharian