January 14, 2012

Gerrard Mahu Cipta Minggu Sempurna


LIVERPOOL: Steven Gerrard berharap melengkapkan minggu sempurna apabila Liverpool melayan kunjungan Stoke di Anfield dalam usaha memburu tempat ke kejuaraan Eropah.

Gerrard meledak gol kemenangan Liverpool ketika menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City 1-0 dalam saingan separuh akhir pertama Piala Liga, Rabu lalu. 

 
Kemudian pemain tengah England itu, pada usia 31 tahun, menyusuli kecemerlangannya dengan menandatangani kontrak jangka panjang yang akan mengekalkannya dengan kelab berkenaan hingga tamat karier sebelum mengambil peranan sebagai duta Anfield. 

Reds mara ke saingan hujung minggu di tangga keenam dan menerima kritikan kerana persembahan pemain baru yang mahal – Andy Carroll, Jordan Henderson dan Stewart Downing.

Liverpool – yang belum pernah memenangi sebarang kejuaraan sejak Piala FA 2006 – perlu, dengan kejuaraan liga sudah di luar jangkauan, memenangi sama ada Piala Liga atau Piala FA bagi menamatkan kemarau kejuaraan – tempoh paling panjang selepas kemarau 1966 hingga 1973.


Namun Gerrard, yang terlepas hampir semua perlawanan musim lalu akibat kecederaan, menegaskan dia tidak akan melanjutkan kontraknya dengan kelab jika dia tidak mempunyai keyakinan bahawa Reds berada di landasan betul.


“Inilah kelab yang saya cintai dan kelab yang saya sokong sejak kecil,” kata Gerrard. “Saya merealisasikan impian sebagai kapten dengan antara kelab terbesar di dunia.


“Kami mempunyai pasukan yang hebat, pemilik yang tepat dan pengurusan yang baik, jadi saya benar-benar yakin kami akan melalui pengalaman lebih manis di masa depan.” –BHarian