August 3, 2011

Peluang Harimau Muda Menjadi Harimau Malaya

SEPANJANG bulan lalu, peminat bola sepak tempatan bagaikan dilanda fenomena ‘demam bola’ apabila kelab tersohor Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, Liverpool dan Chelsea mengadakan kunjungan ke negara ini, bagi pertemuan persahabatan menentang pasukan Pilihan Malaysia.

Seperti diketahui, skuad Pilihan Malaysia kendalian Datuk K Rajagobal ‘dibedil’ Gunners dengan keputusan 4-0 pada 13 Julai lalu dan kemudiannya ‘ditaji’ The Reds 6-3 tiga hari selepas itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Meskipun tewas pada perlawanan persahabatan tersebut, pemain negara seharusnya mendapat pengajaran berguna sebelum berdepan Singapura untuk Kelayakan Piala Dunia.

Namun, ia bertukar menjadi bencana apabila skuad Harimau Malaya mudah dijinakkan pasukan Singapura yang dibarisi pemain naturalisasi pada pusingan kedua dengan kiraan agregat 4-6 walaupun mengikat anak buah Radojko Abramovich 1-1 di Bukit Jalil.

Walhal, beberapa hari sebelum itu mereka berpeluang beraksi hebat berdepan jaguh EPL namun terpaksa berputih mata dan mengecewakan harapan menggunung peminat setia tempatan yang mula memberikan sokongan padu sejak sekian lama menyepi.

Tetapi, tidak wajar untuk kita menyalahkan Rajagobal semata-mata kerana setiap pemain juga perlu bertanggungjawab atas kegagalan itu.

Pendek kata, tutup buku lama dan buka lembaran baru. Apa pun, syabas buat pemain kebangsaaan kerana berusaha bersungguh-sungguh membawa nama Malaysia di puncak kecemerlangan namun bukan rezeki untuk memasang impian layak ke Brazil 2014.

Kini, tumpuan peminat terarah kepada satu lagi pasukan iaitu skuad Olimpik negara pimpinan Ong Kim Swee yang ‘berguru’ di Vion, Slovakia.

Siapa sangka, skuad junior negara itu menjadi 12 pasukan terbaik di Asia dan menjadi pasukan wakil tunggal membawa cabaran rantau ini bersaing memburu slot ke Temasya London 2012.

Biarpun perlu berhadapan juara Piala Asia 2010, Jepun dalam satu kumpulan termasuk Bahrain dan Syria, adalah diharapkan anak didik Kim Swee tidak mudah panik dan hilang tumpuan.

Malah, perkembangan terbaru diperoleh di Vion apabila mereka sudah memenangi dua perlawanan awal daripada kesemua tujuh pertemuan diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Berita ini sedikit sebanyak memberikan keputusan positif menjelang perlawanan pusingan ketiga bermula September depan selepas mereka hampir memalit arang pasukan Chelsea apabila tumpas 1-0 hasil jaringan kontroversi Didier Drogba, 21 Julai lalu.

Kali terakhir Malaysia layak ke temasya sukan terbesar itu di Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!