April 8, 2013

Piala FA: Bojan Yakin Anak Buah Mampu Ke Separuh Akhir



Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mahu memandang kelebihan satu gol sebagai sesuatu yang positif  buat The Red Warriors meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini

Disebalik hanya berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan Liga Perdana, Sarawak, dalam perlawanan suku akhir pertama di Kota Bharu, jurulatih dari Croatia optimis pasukannya akan menyingkirkan Sarawak apabila mereka sekali lagi akan bertemu di Kuching pada 16 April ini.

Bercakap kepada wartawan, Bojan berkata: "Kemenangan pasti akan dapat diraih walaupun kami hanya memperolehi kelebihan satu jaringan apabila berkunjung ke Kuching nanti.

"Ramai yang berkata peluang kami amat tipis, namun

bagi kami kelebihan satu gol adalah sangat bermakna.

"Kami akan bermain di sana dan kelebihan ada bersama kami, bukan Sarawak.

"Mereka perlu menang dalam perlawanan ini. Mereka mempunyai masalah konsistensi dalam menjaringkan gol."

Melihat kepada Bojan, dia masih gembira dengan prestasi  pasukannya yang berjaya mencatat lima kemenangan berturut-turut walaupun tidak dapat menjaringkan gol yang banyak ketika menentang Sarawak.

"Sekarang kita harus memerhati pemain kita dan harus menukar pemain bagi setiap perlawanan.

"Pemain saya letih, kerana ini adalah perlawanan ketiga dalam lapan hari.

"Kami tidak mempunyai banyak penyerang dan saya menanti Fakri Saarani didaftarkan untuk bermain dalam saingan ini."