November 7, 2012

Juara Liga Korea Nafi Risik Apek?


Juara bertahan K-League menafikan khabar angin yang mengaitkan mereka dengan penjaga gawang no.1 Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.


Jeonbuk Hyundai Motors telah menolak khabar angin yang mengaitkan mereka dengan penjaga gol juara treble Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Menurut laporan, pemain yang berasal dari Kelantan itu menjadi pemain sasaran dalam senarai perpindahan kelab dari Korea itu.

Namun, setelah pihak Jeonbuk dihubungi, mereka mengatakan bahawa mereka tidak ada mengemukakan sebarang tawaran untuk mendapatkan pemain itu.

Jeonbuk baru sahaja selesai menandatangani pertahanan Australia, Alex Wilkinson dengan kontrak 3 tahun dan ini bermakna mereka telah menggunakan kesemua kuota bagi pemain import. Tiga pemain import yang lain ialah duo Brazil, Eninho dan Leonardo serta pemain tengah Chile, Hugo Droguett.

Berita ini pasti akan menghampakan peminat bola sepak Malaysia yang mengharapkan agar penjaga gol terbaik negara dapat mencari pengalaman di luar negara bersama kelab-kelab terkemuka Asia.

Khairul Fahmi menjadi salah seorang pemain yang penting ketika Kelantan melengkapkan kejuaraan treble untuk musim ini disamping memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik dalam FAM National Football Awards buat kali ketiga.