November 9, 2012

Piya Mahu Berikan Yang Terbaik Sekiranya Terpilih Untuk Skuad Kebangsaan


Badri Radzi berkata dia tidak begitu kecewa apabila disisihkan Datuk K.Rajagopal, namun berjanji akan memperbaiki dirinya sekiranya dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan kelak.


Kapten Kelantan, Badhri Radzi tidak pernah berharap akan dipanggil menyarung jersi Malaysia suatu masa nanti.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya merupakan seorang pemain yang begitu berkaliber dalam liga tempatan, namun tidak pernah dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan bagi perlawanan-perlawanan rasmi.

Bekas pemain PDRM hanya sekali meyarung jersi Malaysia setelah dipilih oleh Ong Kim Swee ketika perlawanan Malaysia XI menentang Chelsea dalam perlawanan persahabatan. Malaysia kalah 0-1 dalam perlawanan tersebut hasil jaringan Didier Drogba.

Dalam senarai pemain yang dikeluarkan untuk Piala AFF Suzuki bulan lepas, nama Badhri sekali lagi tidak disenaraikan oleh K.Rajagopal. 

Piya berjaya membantu Kelantan memenangi tiga piala musim ini. Untuk fakta, kesemua tiga gol Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dicipta Piya dengan keputusan ATM 2-3 Kelantan.

Apabila ditanya oleh Goal.com Malaysia tentang kesebelasan utama Malaysia, Piya berkata, "Ini keputusan Datuk K. Rajagopal."

"Secara peribadi, saya tidak begitu kecewa kerana saya menghormati keputusan jurulatih."

Namun, Piya berjanji akan memberikan yang terbaik sekiranya terpilih untuk masa akan datang.

"Namun sekiranya saya terpilih, saya akan memberikan yang terbaik."

Malaysia telah tewas dua kali untuk masa lima hari dalam dua perlawanan persahabatan iaiatu ketika menentang Vietnam (1-0) dan Thailand (2-0).