October 19, 2012

Rayuan KAFA Tiada Asas - Azzuddin Ahmad



Rayuan Kelantan untuk membatalkan penggantungan Norfarhan bagi membolehkannya beraksi dalam final Piala Malaysia telah ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata rayuan Kelantan itu tidak berasas kerana ianya jelas terdapat dalam undang-undang bola sepak FIFA.

"Secara peribadi, saya tidak ada menerima sebarang permohonan. Mungkin rayuan itu dibuat terus kepada Jawatankuasa Pertandingan," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Kelana Jaya semalam.

"Bagaimanapun rayuan itu tidak mempunyai apa-apa asas. Ia memang sudah termaktub dalam undang-undang FIFA," tambahnya lagi.

Norfarhan tidak dapat beraksi dalam perlawanan akhir setelah menerima kad kuning dalam perlawanan menentang Selangor di Stadium Shah Alam. 

Sebelum ini Norfarhan sudah mengutip kad kuning ketika separuh akhir pertama di Kota Bharu.

Dengan penggantungan itu, Norfarhan akan menyertai Muhammad Ghaddar di luar padang setelah pemain kebangsaan Lubnan itu mengutip kad kuning kedua semasa menang 2-0 ke atas Selangor.