October 22, 2012

Pasca Piala Malaysia 2012: Reaksi Dua Jurulatih



Ini adalah piala ketiga untuk Kelantan selepas mereka menewaskan ATM dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik dengan keputusan 3-2 selepas masa tambahan.

Pengurus Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas tewas dalam perlawanan itu.

"Kelantan adalah salah satu pasukan yang terbaik di negara ini, satu peluang baik sekiranya dapat bermain bersama mereka."

Namun bekas jurulatih Kelantan itu sedikit terkilan dengan prestasi beberapa orang pemain Kelantan pada masa tambahan yang dilihat sengaja menjatuhkan diri semasa perlawanan sedang berlangsung.

Disamping itu, B. Sathinathan juga mengumumkan akan mengambil beberapa orang pemain muda untuk cabaran musim depan.

"Kami sentiasa memandang kedepan untuk musim akan datang. Mungkin akan ada muka baru akan diperkenalkan. Saya berharap kami dapat menandatangani beberapa orang pemain muda walaupun saya tahu ia adalaha sedikit susah," katanya.

Bagi Bojan Hodak pula, pasukannya terpaksa menyerap beberapa tekanan yang dilakukan oleh pasukan ATM. "Sejujurnya, kami bermain dengan baik pada sepatuh masa pertama. Kami mencipta beberapa peluang dan meghasilkan satu jaringan sebelum tamat separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua pula, kami masih mengekalkan rentak permainan namun masalah mula timbul apabila Subra mengalami kecederaan."

S. Subramaniam terpaksa dikeluarkan selepas berlaku pelanggaran  dengan Hairuddin Omar pada awal separuh masa kedua. Ketiadaan pertahanan yang mantap itu digunakan sepenuhnya oleh ATM apabila Rezal Zambery meledak gol penyamaan buat ATM.

Apabila ditanya mungkinkah Kelantan akan menghabiskan perlawanan dengan awal, Bojan Hodak berkata,"Saya fikir kami terlalu banyak bermain di kawasan sendiri berbanding melancarkan serangan ke kawasan lawan.

"Saya tidak begitu gembira dengan prestasi anak buah saya selepas Indra menjaringkan gol, namun pada penghujung perlawanan, kami menang piala itu," tambahnya lagi.

Norshahrul Idlan Talaha yang menyumbangkan dua gol buat Kelantan menunjukkan prestasi yang cemerlang dan telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Bojan memuji penyerangnya itu," Dia menunjukkan pada kita semua malam ini bahawa dia seorang pemain terbaik bukan sahaja di Malaysia bahkan di Asia Tenggara."