Kuala Lumpur: Meskipun berjaya mempertahankan kejuaraan
Liga Super buat musim kedua berturut-turut, Kelantan dipalit
rasa tidak puas hati apabila buat kali kedua juga terpaksa
menjulang trofi berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.
Kelantan mengesahkan kejuaraan miliknya selepas
membelasah Perak 6-0 Sabtu lalu, namun majlis penyampaian
trofi tidak akan dibuat pada aksi terakhir menentang Sarawak
di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Sabtu ini, seperti
diharapkan penyokong The Red Warriors. Sebaliknya FAM
memutuskan majlis penyampaian trofi bagi Liga Super, Liga
Perdana dan Liga FAM diadakan serentak pada jam 3 petang,
20 Julai di Wisma FAM.
Keputusan FAM itu turut menimbulkan rasa terkejut dan
dukacita Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan
Sri Annuar Musa.
"Johan dan naib johan (Liga Super) sudah diketahui seawal 7
Julai (Sabtu lalu). Jadi mengapa harus menunggu dua minggu?
Penyampaian piala patut dibuat pada perlawanan terakhir Liga
Super di Kota Bharu. Hadiah lain bolehlah dikemudiankan.
"Saya tak dapat memahami kenapa ini dilakukan? Apakah
kerana Kelantan yang memenanginya?" kata Annuar menerusi
laman Facebook rasmi miliknya, semalam.
Namun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM,
Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Naib Presiden FAM tampil
membuat penjelasan berhubung hal berkenaan.
"Tidak perlu jadi isu. Musim lalu pun trofi dan hadiah Liga
Super disampaikan di Wisma FAM. Lagipun kebetulan pegawai
FAM kini sibuk mengendalikan acara bola sepak SUKMA 2012 di
Kuantan," kata Hamidin ketika dihubungi di Kuantan, malam
tadi.
Mungkin secara kebetulan, malam selepas trofi itu disampaikan
pada siangnya, Kelantan bertemu QPR pada aksi persahabatan
di Stadium Shah Alam dan pasti pasukan itu dapat meraikannya
walaupun lewat seminggu.