July 13, 2012

Kuasa Baru Kelantan

KUANTAN - Kelantan muncul sebagai kuasa
baru dalam acara olahraga pada hari ke-12
temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15
apabila menggondol empat butir emas
menerusi acara jarak jauh di Stadium Darul
Makmur di sini hari ini.
Atlet Nik Norzilawatie Nik Wil menjadi
wirawati bagi kontinjen Kelantan apabila
meraih dua emas menerusi acara 3,000m lari
berhalangan dan 800m.
Manakala atlet lelaki Mohamed Baihaqi
Razlan menguasai acara 400m lari berpagar
dan Nik Hafiz Nik Mohamad dalam acara
800m.
Semalam, pingat emas pertama Kelantan
diperolehi menerusi Muhammad Khairil
Harith Harun dalam acara 10,000m.
Ketua jurulatih Kelantan Mohmood Deraman
bagaimanapun percaya anak didiknya mampu
menambah kilauan emas pada hari penutup
acara olahraga esok.
Beliau berkata kebangkitan skuad Kelantan
tersebut adalah hasil usaha gigih semua atlet
yang menjalankan latihan sejak awal tahun
ini serta berdisiplin dan bersemangat kental.
Katanya skuad olahraga negeri itu telah
mencapai sasaran lima butir emas pada
temasya sukan kali ini.
Kelantan, yang menghuni tangga ke-14
semalam, naik dua anak tangga untuk
menduduki tangga ke-12 dalam senarai
pungutan pingat dengan lima emas, tiga
perak dan tujuh gangsa.
Bagaimanapun, Terengganu bangkit untuk
memberi saingan sengit kepada pendahulu
Selangor apabila terikat 39 emas untuk
menduduki tangga kedua.
Selangor hanya berjaya mengutip tiga pingat
emas menerusi perenang wanita Kok Cher
Ling dalam acara 50m gaya bebas, Hay Cheng
Feng dalam acara memanah compound 90m
lelaki dan pasukan menembak wanita dalam
acara 25m pistol.
Selangor mendahului kutipan pingat
keseluruhan dengan 39 pingat emas, 37 perak
dan 41 gangsa.
Pahang turun satu anak tangga dengan
kutipan 28 pingat emas, 29 perak dan 18
gangsa dan Brunei masih tercorot dalam
kedudukan pungutan pingat dengan sebutir
gangsa. - Bernama