July 13, 2012

KAFA Tundukkan Ego FAM!

Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) akur dengan
permintaan Persatuan Bola
Sepak Kelantan (KAFA) untuk
menyerahkan trofi Liga Super
pada aksi terakhir Kelantan
bertemu Sarawak di Stadium
Sultan Muhammad IV, Kota
Bharu, malam esok.
Keputusan itu dicapai selepas
Jawatankuasa Pertandingan
Tempatan (JKPT) FAM
mengadakan mesyuarat khas
di Kuantan, semalam.
Pengerusi JKPT FAM, Datuk
Hamidin Mohd Amin, berkata
langkah proaktif itu diambil
selepas menimbang rayuan
dibuat Presiden KAFA, Tan Sri
Annuar Musa, dua hari lalu.
"Selepas menerima rayuan
dan permintaan Tan Sri
(Annuar), kami terus
mengadakan mesyuarat ad-
hoc JKPT khas bersama ahli
yang berada di Kuantan tadi
(semalam) dan bersetuju
supaya trofi Liga Super
diserahkan di Kota Bharu.
"Oleh kerana saya dan ahli
JKPT lain terbabit untuk final
bola sepak SUKMA 2012 di
Kuantan (esok), penyampaian
trofi di Kota Bharu itu akan
dilakukan Naib Presiden FAM
yang juga Timbalan Presiden
KAFA, Datuk Afandi Hamzah,"
katanya ketika dihubungi di
Kuantan, semalam.
Hamidin, yang juga Naib
Presiden FAM, berkata,
mesyuarat semalam turut
memutuskan penyerahan trofi
Liga Perdana diserahkan
kepada pasukan Tentera pada
aksi terakhir menentang Pos
Malaysia di Stadium Selayang,
malam ini.
Sementara itu, Naib Presiden
KAFA, Rosmadi Ismail yang
mengucapkan terima kasih
kepada FAM berkata
penyerahan hadiah wang
bernilai RM750,000 akan
dibuat di Wisma FAM pada 20
Julai ini.
Pengerusi Persatuan Kelab
Penyokong The Red Warriors
Bandar Kota Bharu, Mohd
Zainy Mohd Zain, berkata FAM
membuat keputusan tepat
untuk memberi peluang
kepada penyokong di
Kelantan untuk bersama
menikmati kejayaan pasukan
berkenaan.
KAFA turut menyediakan 500
T-Shirt The Red Warriors
untuk diagihkan kepada
penyokong pada malam esok.